Saturday, May 8, 2010

Siklon Tropika

Siklon Tropika adalah ribut ganas yang berputar dan berdiameter beberapa ratus kilometer yang terbentuk di perairan tropika. Melalui satelit, ia dilihat seperti satu sistem gegelung ketat penuh kuasa dengan jalur awannya melingkar keluar. Bagi siklon tropika matang, wujud satu kawasan di pusatnya dikenali mata yang udaranya secara relatif adalah tenang dengan sedikit awan. Kawasan ini dikenali sebagai mata bagi siklon tropika.

Siklon Tropika Dikelaskan Seperti Berikut:

*
Lekukan Tropika – satu sistem terdiri daripada awan dan ribut petir yang berputar dengan kelajuan angin maksimum 63kmpj
*
Taufan – Satu sistem cuaca tropika hebat yang berputar dengan kelajuan angin maksimum 118kmpj atau lebih
*
Ribut Tropika – Satu sistem ribut petir kuat yang berputar dengan kelajuan angin maksimum antara 64 – 117kmpj

Bagaimana Siklon Tropika Terbentuk?

Siklon tropika terbentuk di kawasan lautan yang suhu permukaanya 26° C atau lebih. Di rantau Asia, siklon tropika lebih dikenali sebagai taufan. Ia terbebtuk semasa musim panas Hemisfera Utara di mana suhu di Lautan Pasifik adalah panas dan sesuai untuk aktiviti perolakan. Sistem tekanan rendah terbentukl di lautan tropika yang panas dan bergerak ke arah barat, ia mengembang daripada lekukan tropika membentuk ribut tropika dan akhirnya, menjadi taufan yang matang.

Perkembangan lekukan tropika kepada taufan bergantung kepada tiga keadaan:

• Suhu tinggi di permukaan laut
• Kelengasan
• Corak angin berhampiran permukaan laut yang melingkarkan udara ke arah dalam

Semasa pembentukan siklon, haba dan tenaga terkumpul berhubungan dengan air laut yang panas. Haba dan kelengasan yang terhasil oleh penyejatan permukaan laut memberi tenaga kepada siklon seperti kuasa enjin haba raksasa. Jaluran ribut petir yang terbentuk membolehkan udara menjadi lebih panas dan naik meninggi di dalam atmosfera.

Mata siklon berdiameter antara 30 – 100 kilometer merupakan pusat tekanan rendah ribut tropika. Kawasan di mana berlakunya aktiviti paling aktif adalah di sekeliling mata, ia dikenali sebagai dinding mata. Di sini, udara melingkar ke arah atas dan ke arah luar dengan kelajuan yang meningkat. Sebahagian daripada udara bergerak ke arah dalam dan tenggelam ke dalam mata, membentuk kawasan bebas awan.


Bilakah Taufan Biasanya Berlaku?

Taufan biasanya muncul di barat Pasifik Utara pada awal Mei, bilanganya bertambah dan mencapai maksimum di bulan September. Kebanyakan taufan terbentuk di kawasan latitud antara 5º U dan 20º U, dan longitud antara 130º T dan 170º T. Taufan biasanya bergerak menghala ke arah barat melintasi Filipina dan seterusnya melencong ke arah timur laut menuju daratan Asia.

Apakah Taufan Memberi Kesan Kepada Malaysia?

Taufan jarang berlaku di selatan latitud 5º U. Di Malaysia tidak wujud landaan terus taufan. Akan tetapi, semasa perjalananya melintasi Filipina menuju Laut China Selatan, Malaysia menerima kesan ekor dalam bentuk angin kencang dan hujan ribut yang kerap melanda Sabah di Malaysia Timur. Kadang-kdang taufan yang berada di sekitar pantai vietnam juga memberikan kesan yang sama kepada negeri-negeri di barat laut Semenajung Malaysia.

Ribut tropika GREG yang melanda pantai barat Sabah pada malam 25 Disember 1996 dan ribut tropika Vamei yang melanda pantai tenggara Johor pada 27 Disember 2001 adalah dua kes pengecualian yang jarang sekali berlaku. Ribut yang bertiup pada kelajuan 70 kmpj itu telah memusnahkan rumah-rumah dan mengganas selama beberapa jam sebelum menjasi lemah.

Bahaya Berkaitan Taufan

Luruan Ribut

Suatu kubah air yang besar, lebarnya antara 80 – 160km yang melanda pinggir pantai berhampiran tempat taufan bertemu daratan. Taufan yang kuat dan perairan yang cetek akan menghasilkan luruan yang lebih tinggi. Luruan ribut mengancam nyawa dan harta benda terutamanya di kawasan pantai.

Hujan Lebat

Hujan mencurah-curah menyeluruh, boleh menyebabkan banjir yang memusnahkan.

Angin Kencang

Daya angin taufan boleh memusnahkan bangunan dan struktur binaan yng tidak kukuh. Serpihan runtuhan akan berterbangan dalam taufan. Langkisau kuat boleh menumbangkan pokok dan memutuskan talian elektrik yang boleh menyebabkab gangguan besar.

No comments:

Post a Comment