Saturday, May 8, 2010

IMPAK ALAM




Beg Plastik, Pembunuh Senyap

TAHU atau tidak, bahan plastik memerlukan 100 hingga 500 tahun untuk lupus jika ditanam dan jika dibakar ia memberikan impak yang lebih besar kepada alam sekeliling termasuk manusia.

Dan ada kajian yang menunjukkan statistik rakyat Malaysia membuang plastik yang sebenarnya boleh dikitar semula bernilai kira-kira RM163 juta.


Jumlah yang banyak itu bukan hanya membazir dan sepatutnya boleh dikitar semula, namun dalam masa yang sama ia turut merosakkan alam sekitar. Dalam erti kata lain, masyarakat Malaysia masih kurang peka terhadap keadaan alam sekeliling yang semakin merosot tanpa mengambil pendekatan yang serius.


Apa pun, kini ada sedikit kesedaran di mana Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak berjaya mengumumkan Hari Tanpa Plastik dan dilihat memberi sedikit sinar kepada bumi.Malah bukan hanya dua negeri ini, kompleks membeli-belah, institusi pengajian tinggi, syarikat-syarikat produk tempatan dan banyak lagi yang mengambil inisiatif sama untuk mengurangkan atau tidak menggunakan plastik sama sekali.


Tapi kenapa plastik menjadi agenda utama dalam pemuliharaan alam sekitar.


“Bukan penggunaan plastik menjadi masalah utama tetapi cara pelupusan bahan tersebut yang memberi impak pada alam sekitar,” respons spontan Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor mengenai penggunaan beg plastik di Malaysia.


Dalam satu temu bual yang diadakan sebelum ini, Dr. Salleh mengatakan beg plastik mampu memberi ancaman paling besar jika tiada rancangan yang teliti mengenai pengurusan pembuangan bahan plastik tersebut.


Kata beliau: “Plastik memerlukan lebih daripada program kitar semula yang biasa dan teknologi yang digunakan haruslah berkesan untuk menyelesaikan isu ini.


“Jadi kenapa sehingga sekarang, kita masih belum mampu menetapkan peraturan ketat seperti dilakukan oleh beberapa negara Eropah yang mewajibkan pengguna membawa beg sendiri atau dikenali sebagai Green Bag sebagai ganti beg plastik ketika membeli-belah.”


Satu perangkaan lain pula mengatakan, secara purata di Malaysia, seorang individu menggunakan hampir lapan beg plastik seminggu dan ada di antara mereka membuang beg plastik berkenaan selepas hanya dipakai sekali.


Tidak banyak yang diketahui kenapa bahan ringan, tidak mudah pecah, dan murah ini menjadi ancaman kepada alam sekitar jika pembaca tidak meneliti jurnal dan makalah saintifik.


Yang nyata, beg plastik mengandungi satu bahan yang dikenali sebagai sebatian organik Bis(2-ethylhexyl)phthalate atau lebih dikenali sebagai DEHP atau phthalates (disebut THA-lates), satu bahan yang akan membuatkan bahan plastik menjadi lembut dan mudah dilentur.


Penyelidik di Universiti Harvard pada tahun 2002 berjaya membuat penemuan baru mengenai kesan kimia phthalates yang mampu merosakkan DNA sperma manusia.


Walaupun pengeluar mengatakan dos phthalates yang digunakan mematuhi syarat standard pengeluaran, namun dalam tempoh yang panjang, pengguna sebenarnya terdedah secara berterusan kepada kimia ini yang mampu memudaratkan manusia.


Puncanya adalah daripada kita, maka kita juga mampu untuk menyelesaikannya. Apa kata, bermula hari ini, hindarkan daripada menggunakan beg plastik.


Sumber maklumat:
Utusan Malaysia

No comments:

Post a Comment