Saturday, May 8, 2010

SELAMATKAN BUMI

pabila berkunjung ke pasaraya, anda pasti akan terpandangkan rak-rak yang menyediakan beg kitar bagi mengantikan penggunaan beg plastik.

Di beg berkenaan tertulis tanda amaran supaya menghentikan penggunaan beg plastik sekiranya mahu menyelamatkan bumi.

Usaha untuk mengurangkan pengguanan beg plastik dilakukan kerana setiap tahun, kira-kira 500 billion beg plastik digunakan di seluruh dunia yang merosakkan alam sekitar.

Jumlah penggunaan plastik yang banyak ini berlaku kerana plastik tidak hanya terhad kepada pembungkusan beberapa jenis barangan tertentu, tetapi kini plastik digunakan dengan meluas apabila peruncit dan pengeluar pelbagai jenis barangan pengguna lebih banyak menggunakan plastik sebagai bahan pembungkusan berbanding kertas.

Penggunaan beg plastik sememangnya tidak digalakkan memandangkan beg plastik mengambil masa kira-kira 300 tahun untuk mengurai dan ia pecah menjadi partikel toksid kecil yang mencemarkan tanah serta saliran air.

Ini secara langsung menimbulkan masalah pencemaran alam sekitar sekiranya bahan buangan plastik itu tidak diuruskan dengan betul.

Keadaan ini juga menyebabkan haiwan dan hidupan laut turut terbunuh setiap hari gara-gara beg plastik terbuang kerana plastik tersumbat dalam saluran ususnya.

Selain itu, plastik adalah sejenis bahan yang mudah terbakar kerana unsur utamanya terdiri daripada karbon dan hidrogen.

Jika bahan buangan plastik itu dibakar, gas berasid hidrogen akan dibebaskan dengan banyak, hujan asid boleh terjadi.

Hujan asid bukan saja boleh membahayakan manusia, malah boleh menggugat ekologi alam, misalnya tanah tidak sesuai lagi digunakan untuk pertanian.

Satu cara mengatasi masalah itu ialah memproses semua bahan buangan plastik bagi membolehkannya digunakan semula, sekali gus meminimunkan kadar plastik dalam kitaran pengunaan.

Disamping dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar, kitaran semula buangan bahan plastik boleh mengatasi masalah kekurangan tempat pelupusan sampah.

Bersempena Hari Alam Sekitar Sedunia yang berlangsung 5 Jun lalu, orang ramai digalakkan menggunakan beg kitar semula ketika membeli belah.

Penggunaan beg kitar semula ini sekali gus dapat mengurangkan pembaziran daripada pengunaan beg plastik yang diamalkan selama ini serta menyumbang dari segi pengurangan sampah.

Sumber maklumat : Berita Harian

APAKAH BEZA CUACA DAN IKLIM



Cuaca biasanya merujuk kepada tempatan dan jangka pendek. Jika hujan di Kuala Lumpur tempat kita tinggal, ini dikatakan cuaca.

Iklim pula adalah jangka panjang dan tidak hanya terhad kepada satu lokasi sahaja.

Iklim sesuatu kawasan adalah purata keadaan sesuatu rantau dalam suatu tempoh masa tertentu.

Misalnya jika kawasan tempat anda tinggal mengalami hujan lebat, ini merupakan sebahagian iklim bagi rantau berkenaan .

Amat penting apabila membicarakan mengenai iklim adalah jangka panjang malah ratusan tahun adalah singkat apabila memperkatakan mengenai iklim.

Perubahan iklim kadang-kala mengambil masa 10 ribu tahun dan hujan yang lebat dalam masa dua hingga tiga tahun tidak mengambarkan perubahan iklim.

Ini hanyalah anomali iaitu keadaan yang bukan berlaku dalam rangkaian statistik tetapi tidak mewakili keadaan kekal jangka masa panjang.

Ia boleh mengambil masa beribu-ribu tahun untuk memanaskan atau menyejukan hanya 1 darjah secara semulajadi.

Bagi mendapatkan kitaran era ais, suhu Bumi boleh berubah kerana aktiviti gunung berapi, perbezaan dalam kitaran tumbuhan, perubahan dalam amaun radiasi matahari dan perubahan semulajadi dalam kimia atmosfera.

Sumber: Estidotmy,Utusan Malaysia, 24 Jun 2009

APAKAH BERLAKU JIKA BONGKAH AIS MENCAIR?



Adakah bongkah ais kutub dalam bahaya mencair dan menyebabkan aras laut meningkat? Ini boleh berlaku tetapi tiada siapa yang tahu bila ia akan berlaku.

Kawasan paling banyak diliputi ais adalah di Antartika (Khutub Selatan) dengan kira-kira 90 peratus ais di Bumi dan 70 peratus air tawar.

Antartika diliputi dengan purata 2,133 meter tebal dan jika ais di Antartika mencair aras laut di Bumi akan meningkat kira-kira 60 meter tetapi purata suhu di Antartika adalah -37 darjah celcius, maka ais tidak mungkin mencair.

Malah kebanyakan kawasan berkenaan tidak pernah mengalami suhu lebih daripada paras beku.

Pada bahagian lain Bumi, Khutub Utara, ais tidak setebal di Khutub Selatan dan ais terapung di Lautan Artik dan jika ia mencair paras laut tidak memberikan kesan.

Ini merupakan amuan yang berkaitan dengan ais yang meliputi Greenland yang boleh bertambah sehingga tujuh meter kepada aras lautan jika ia mencair.

Oleh kerana Greenland lebih dekat dengan khatulistiwa berbanding Antartika, suhunya lebih tinggi dan ais di sana mudah mencair.

Siantis dari London dan Edinburgh berkata ais hilang di Antartika dan Greenland menyumbang kira-kira 12 peratus peningkatan air aras laut.

Sumber : estidotmy, Utusan Malaysia, 24 Jun 2009

APAKAH KESAN PEMANASAN GLOBAL TERHADAP ARAS LAUTAN



Kita telah melihat purata kejatuhan hanya lima darjah celcius dalam masa seribu tahun boleh menyebabkan era ais, jadi apa yang berlaku jika suhu Bumi secara purata meningkat beberapa darjah dalam tempoh beberapa ratus tahun.

Tidak terdapat jawapan yang jelas mengenainya.

Malah ramalan cuaca jangka pendek tidak pernah tepat kerana iklim adalah fenomena kompleks.

Apabila ia melibatkan ramalan jangka panjang, kita perlu berlandaskan pengetahuan bentuk iklim menerusi sejarah.

Glasier dan bongkah ais seluruh dunia sedang dan kehilangan kawasan air yang luas boleh mempercepatkan pemanasan global kerana kurangnya tenaga matahari yang boleh dipantulkan dari Bumi.

Jesteru aras laut akan meningkat serta merta dan biasanya peningkatan hanya satu atau dua inci.

Peningkatan biasa biasanya menyebabkan masalah banjir bagi kawasan pantai yang rendah.

Bagaimanapun jika bongkah ais Antartika Barat mencair dan tumbang kedalam lautan ia akan meningkatkan aras lautan sehingga 10 meter dan banyak kawasan pantai akan hilang di bawah lautan.

Diramalkan aras lautan akan meningkat 17 sentimeter menjelang abad ke 20.

Saintis meramalkan aras laut akan terus meningkat sehingga abad ke-21 dengan peningkatan antara tujuh hingga 22 inci menjelang 2100.

Sumber: estidotmy 24 Jun 2009,Utusan Malaysia.

AMALKAN SIKAP CINTAKAN ALAM SEKITAR

Amalkan Sikap Cintakan Alam Sekitar

Memandangkan dunia sedang berdepan dengan isu pemanasan global yang semakin serius masyarakat diharapkan dapat menjadi pengguna yang perihatin terhadap alam sekitar.

Persoalannya, sejauh manakah pencapaian kita sebagai pengguna yang lestari? Setakat ini, tidak ramai yang begitu menitikberatkan perkara seperti penjimatan elektrik, pembaziran tenaga, pencemaran alam sekitar dan sebagainya. Tahap kesedaran pengguna Malaysia masih rendah. Malah, mereka boleh dikatakan masih berada di peringkat awal dalam meletakkan diri sebagai pengguna lestari.

Amalan pengunaan lestari sebenarnya amat mudah untuk dipraktikkan oleh pengguna. Antaranya, mereka boleh berbelanja secara berhemat, menjimatkan pengunaan sumber air, tenaga dan bahan bakar, menggunakan bahan-bahan yang tidak mendatangkan kesan negatif kepada alam sekitar serta menggunakan teknologi bersih dan juga mesra alam.

Untuk menggalakkan amalan penggunaan lestari ini, masyarakat perlu belajar berbelanja mengikut keperluan mereka. Rancang dulu perbelanjaan anda. Sebaiknya, buat senarai barangan yang diperlukan dan belilah barangan hanya bila ia diperlukan.

Satu kemestian apabila membeli barangan ialah membaca lebel secara terperinci. Label mengandungi maklumat asas seperti kandungan pemakanan, tarikh luput, logo-logo berkaitan alam sekitar ataupun sama ada ia diperbuat daripada hasil bahan kitar semula.

Apabila membeli, lihat pada pembungkusan produk tidak kira bekas, botol atau kotak. Beli produk yang menyokong pembungkusan yang boleh diguna semula dan dikitar semula. Cara ini dapat mengurangkan terhasilnya sisa pepejal.

Ketika keluar membeli-belah juga amalkan membawa bersama beg sendiri dari rumah. Elakkan menggunakan beg plastik terutamanya yang memakan masa untuk dilupuskan.

Sebabnya, salah satu daripada sampah yang sering dibuang adalah pembungkus barangan harian yang dibeli termasuk beg plastik yang digunakan untuk membawa barangan tersebut.

Mungkin tidak semua barangan perlu dibeli. Contohnya, anda boleh menanam sendiri sayuran di kawasan rumah termasuk menggunakan teknik hidroponik yang tururt menjurus kepada amalan pengunaan lestari.

Malah, cara ini bukan sahaja dapat memastikan sayuran yang dimakan segar dan bebas bahan kimia racun perosak, tetapi boleh menjimatkan perbelanjaan keluarga.

Selain itu, pengguna juga boleh menjimatkan sumber bahan bakar dengan berusaha mengurangkan pengunaan kenderaan untuk ketempat-tempat yang berdekatan.

Bercerita tentang penjimatan ini, pengguna juga perlu mengambil kira pengunaan peralatan elektrik di rumah kerana ia juga merupakan antara penyumbang utama kepada pembaziran tenaga dan turut mempercepatkan pemanasan global.

Mulakan dengan membeli peralatan elektrik yang menjimatkan tenaga. Kini, banyak jenama telah mengambil langkah mengeluarkan produk penjimatan tenaga dalam usaha untuk mengurangkan pemanasan global.

Ataupun, pilih barangan yang bersesuaian seperti pengunaan lampu kalimantang yang empat kali lebih cerah daripada mentol walaupun kedua-duanya menggunakan kuasa watt yang sama. Malah ia juga tahan lapan kali lebih lama berbanding mentol.

Sekiranya semua ini diamalkan, ia bukan sahaja dapat menyumbang ke arah persekitaran yang lebih sihat malah mampu mengekalkan kehijauan alam serta menjimatkan perbelanjaan.

Jadi, ubahlah sikap bermula hari ini. Jadilah penguna yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar bagi memastikan ia dapat terus diwarisi oleh generasi akan datang.

Sumber : Utusan Malaysia

MENJAGA KEBERSIHAN AIR



 65% hingga 70% badan manusia adalah air
 75% daripada otak manusia adalah air
 97% air didunia adalah air laut (air masin)
 3% adalah air tawar dan daripada jumlah ini hanya 0.3% adalah air permukaan yang boleh digunakan untuk kegunaan manusia
 Manusia hanya boleh hidup tanpa air untuk 5 – 7 hari
 Pengguna Malaysia hanya menggunakan 15 hingga 18 billion m3 (meter padu) air untuk kegunaan tahunan tetapi air hujan yang diterima di Malaysia yang tidak digunakan adalah 990 billion m3

Dalam Keadaan Ini Bagaimana Kita Menjaga Sumber Kita?


 Jangan membuang sampah ke sungai, tasik dan sumber air semulajadi yang lain. Pembuangan sampah ke parit dan longkang akan sampai ke sungai atau tasik juga.
 Gunakan bahan pencuci yang mesra alam. Ini menggelakan kesan pencemaran kepada air.
 Elakkan penggunaan baja kimia dan racun perosak. Masukkan bahan-bahan ini ke dalam sungai menyebabkan pencemaran serta boleh menyebabkan keracunan.
 Pembuangan bahan berminyak ke dalam longkang patut dielakkan, bahan-bahan ini akan sampai ke sungai juga. Minyak tidak terbiodegrasi dengan senang.
 Pencemaran air boleh membunuh hidupan akuatik dan juga tumbuhan sekeliling.
 Laporkan kepada pihak berkuasa tempatan jika aktiviti pembuangan haram atau pencemaran dijalankan oleh sesetengah pihak yang tidak bertanggungjawab.
 Pastikan air kumbahan dirawat sebelum dilepaskan ke dalam sungai. Bahan-bahan dalam kumbahan boleh menyebabkan air sungai sukar untuk dirawat untuk di minum.
 Jalankan aktiviti dengan penduduk tempatan untuk menjaga kebersihan longkang, sungai, tasik atau sumber air yang lain. Walaupun penjagaan sumber air adalah penting, sebagai pengguna kita juga patut menjimatkan pengunaan air yang dirawat. Penjimatan air dapat mengelakkan penggunaan kos yang tinggi untuk perawatan air.

Sumber : Berita Harian

Pembuangan Sampah Secara Lestari




Pengguna domestik menghasilkan dua jenis sisa pepejal, iaitu sisa organik dan sisa daripada bahan-bahan pembungkusan barangan yang dibeli. Bahan organik boleh mereput dengan mudah. Namun, sesetengah bahan pembungkusan tidak boleh mereput dengan cepat.

Sektor industri sewajarnya mulai mencari bahan alternatif untuk pembungkusan. Terdapat benyak penemuan teknologi yang terkini dalam sektor ini. Industri-industri di Malaysia patut melihat kepada perubahan yang lestari.

Industri makanan akan menjadi sektor yang sukar ditangani kerana peraturan keselamatan makanan yang sedia ada berkenaan dengan pembungkusan. Walau bagaimanapun, kita boleh bermula dengan tidak menggunakan bekas-bekas stirofoam untuk membungkus makanan di restauran dan gerai-gerai makanan.

Terdapat bekas-bekas yang di perbuat daripada serat tumbuhan dan juga serat pokok kelapa sawit yang berasaskan kertas. Pengunaan perkakas keluli nirkarat (stainless steel) dan barangan gelas juga boleh dipertimbangkan. Barangan ini boleh digunakan semula selepas mencucinya dengan bersih.

Industri-industri lain boleh memilih untuk menggunakan kotak-kotak dan pembungkus berasaskan kertas. Botol gelas dan pembungkus berasaskan logam juga boleh menjadi pilihan. Bahan-bahan ini boleh digunakan dan dikitar semula. Pelebelan akan menjadi lebih penting, kerana sentiasa mengingatkan pengguna untuk guna semula dan kitar semula.

Apakah Yang Perlu Anda Lakukan?

1. Bersikap cerewet semasa memilih barangan dan ketahui hak-hak anda sebagai pengguna.

2. Ada diantara kita boleh mengelakkan pengunaan hampir 15 beg plastik jika kita membawa beg sendiri untuk membeli belah.

3. Memilih barangan yang ingin dibeli sahaja. Jangan membeli lebih daripada pengunaan. Ini akan menyebabkan kekurangan barangan dalam pasaran dan juga pembaziran.

4. Jangan terikut-ikut dengan jualan murah atau potongan harga. Perancangan pembelian juga merangkumi pemilihan jenis produk.

5. Belilah produk mesra alam yang diktiraf, kerana ini menunjukan anda telah membantu mengurangkan beban kepada alam sekitar.

6. Belilah barangan yang mempunyai bahan pembungkusan yang boleh diguna semula dan dikitar semula (kertas, kaca dan logam).

7. Pengasingan sampah yang dihasilkan di rumah patut dibuat. Dengan cara ini kita boleh mengumpul dan menjual barangan ini.

8. Terdapat juga pusat pungutan bahan kitar semula yang menjalankan aktiviti amal daripada hasil pendapatan. Hantarlah bahan-bahan yang boleh dikitar semula untuk tujuan ini.

9. Meletakkan lebih banyak tong kitar semula dan pastikan persatuan-persatuan penduduk serta pengurusan bangunan pejabat mengambil bahagian.

Kita juga patut sedar akan kewujudan pusat pungutan di kompleks-kompleks membeli belah.

Pengurangan sisa yang dihasilkan di Malaysia tidak dapat dilakukan oleh satu pihak sahaja. Ia melibatkan usaha bersama pengguna, industri dan kerajaan. Dengan kerjasama yang erat ini kita dapat mengurangkan kesan buruk kepada alam sekitar.

Sumber : Berita Harian

KESAN-KESAN TAUFAN

1. Menjejaskan aktiviti perkapalan

2. Merosakankan kenderaan,bangunan jambatan dan struktur-struktur lain

3. Kematian

4. Berlakunya tanah runtuh

5. Penularan wabak penyakit

6. Pembiakan nyamuk

7. Bekalan elektrik dan sistem komunikasi terjejas.

Sumber : Kosmo

Konsep Bangunan Pintar Mesra Alam





Konsep Bangunan Pintar Mesra Alam

Industri pembangunan dan pembinaan juga sebenarnya memainkan peranan penting dalam menyokong usaha menjaga alam sekitar.

Oleh sebab itu, konsep pembinaan bangunan pintar telah diperkembangkan menerusi pengenalan pelbagai teknologi moden dan canggih

Antara yang diberi penekanan dalam konsep bangunan pintar tersebut adalah daripada segi menggabungkan kaedah pengudaraan secara semulajadi dengan sistem penyejuk udara elektrik.

Bagi mengurangkan kebergantungan kepada sumber tenaga sedia ada pula, keseluruhan sistem bangunan perlulah menyokong penggunaan sumber tenaga alternatif seperti tenaga solar.

Teknologi lain yang diketengahkan adalah seperti kemampuan sokongan mengitar semula air dan lebih mengutamakan pencahayaan semula jadi bagi meminimumkan pengunaan lampu.

Sumber : estidotmy

INOVASI PENGURUSAN SAMPAH

INOVASI PENGURUSAN SAMPAH

Konsep Rawat Dan Jana

Konsep pengurusan sampah membabitkan sistem pengumpulan, pengangkutan dan penghapusan yang efisien dan seharusnya sangat efektif, khususnya dari segi teknologi pelupusan.



Ini kerana timbunan sampah yang tidak diurus dengan baik akan menimbulkan kesan yang negatif terhadap alam sekitar seperti bau busuk, pengaliran air kotor (leachate) ke dalam sungai dan pembebasan gas merbahaya umpamanya karbon dioksida dan metana daripada tapak pelupusan sampah itu sendiri.



Pengurusan sampah di Selangor dan Lembah Klang kini lebih berinovatif dengan adanya loji Bahan Bakar Terbitan atau Refuse Derived Fuel (RDF) yang beroperasi di Semenyih Kajang.



Projek perintis ini bermula pada tahun 2006 melalui kerjasama antara Majlis Perbandaran Kajang, firma bumiputra Recycle Energy Sdn Bhd (RESB), Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).



Loji RDF ini adalah sistem dua dalam satu yang mampu memproses serta merawat sampah yang dibuang oleh pendudduk setempat dan dalam masa yang sama boleh menjanakan tenaga eletrik daripada sampah terbabit.



Skematik Proses



Berbanding dengan tempat pelupusan sampah konvensional yang hanya sekadar melambakkan sisa sampah dengan banyaknya, teknologi RDF ini mempunyai mekanisme pintar untuk mengurus dan merawat antara 700 dan 1000 tan sampah dalam sehari.



Proses yang digunakan adalah cukup mudah, bermula dari penghantaran sampah ke tempat pengumpulan sisa-sisa pepejal yang terdapat di loji RDF ini.



Sistem unik ini mampu untuk membuat pemilihan sampah yang mempunyai bahan boleh bakar agar ia boleh dikitar semula menjadi pelet (butir-butir kecil) yang dinamakan RDF untuk dijadikan sumber bahan api.



RDF yang dihasilkan oleh loji ini mempunyai ciri-ciri kemeruapan yang tinggi, mudah terbakar dan mempunyai nilai kolorifik yang rendah disebabkan kandungan kelembapannya di dalam kadar antara 20 dan 30 peratus.



Istimewanya RDF ini ialah ia boleh diubahsuai dan dicampur aduk dengan bahan buangan yang lain mengikut kesesuaian untuk menghasilkan pelbagai jenis pelet yang berlainan jenis dan karakter.



Ia juga boleh digunakan sebagai bahan api untuk kilang pemprosesan simen atau kilang penghasilan batu-bata, dek kerana harga pasarannya yang jauh lebih murah berbanding arang batu.



Bagi bahan tidak boleh bakar pula, ianya boleh diasingkan secara mekanikal daripada sisa sampah pejal ini.



Bahan yang berguna seperti plastik, kaca, botol, bahan logam dan kertas akan dijadikan bahan kitar semula yang bernilai dan boleh dijual kepada kilang-kilang yang berminat untuk mendapatkannya.



Kebaikan sistem inovatif ini ialah pada akhir proses, hanya 10 peratus sahaja amaun sisa sampah pepejal yang tingal.



Bahan lengai ini yang terdiri daripada pasir,batu dan kayu boleh dibuang dengan selamat di tempat pelupusan sampah tanpa meninggalkan sebarang kesan pencemaran.



Penjanaan Tenaga



Tambah menarik, telah dibina sebuah loji penjanaan tenaga yang telah direka cipta untuk menggunakan pelet RDF sebagai sumber bahan apinya di kawasan berdekatan dengan loji rawatan sampah ini.



Loji ini terdiri daripada generator stim, set generator extraction-condensing turbo, sistem elektrikal yang digunakan untuk mengeksport tenaga, sistem penyejuk, sistem transformer dan loji rawatan air kotor (leachate) yang berupaya merawat air dan sampah-sarap sehingga mencapai piawaian tahap A.



Penghasilan tenaga daripada loji ini boleh mencecah sehingga 9 megawatt (MW) dan dikatakan mampu menjana kuasa secukupnya untuk memenuhi keperluan bekalan elektrik untuk sebuah bandar kecil seperti Kajang.



Satu usahasama dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga telah ditandatangani untuk membolehkan loji ini membekalkan sebanyak 5.5 MW tenaga elektrik kepada syarikat utiliti gergasi di Malaysia itu.



Kesimpulanya, konsep pengurusan sampah secara rawat dan jana ini sangat membanggakan kerana ia merupakan hasil titik peluh dan cetusan idea daripada anak tempatan kita sendiri yang prihatin untuk memelihara dan melindungi alam sekitar.



Ternyata, hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) selama lebih empat tahun untuk menguruskan sampah kini sudah tercapai matlamatnya apabila loji RDF ini diakui mempunyai teknologi pengurusan sampah yang terbaik di Asia Tenggara.



Oleh itu, amatlah diharapkan agar sistem berinovasi ini tidak hanya tertumpu kepada pengurusan sampah di sekitar Lembah Klang dan Selangor sahaja, tetapi juga dapat dipraktikkan di seluruh Malaysia untuk memberi sokongan yang bersepadu ke arah pemuliharaan dan pembaikan alam sekitar.



Sumber : estidotmy, Ogos 2009

KESEPAKATAN PEMIMPIN DUNIA TANGANI IKLIM GLOBAL

Pelepasan Gas Karbon Dioksida Negara Maju Ancam Alam Sekitar



KETIKA bencana alam terus melanda, khususnya di negara dunia ketiga, hampir 15,000 anggota delegasi kerajaan, pemerhati bebas dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari 193 negara kini berhimpun di Bella Center, Copenhagen bagi berbincang dan merangka pelan tindakan untuk menangani kesan perubahan iklim.

Selain Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama yang sudah menyatakan persetujuan menghadiri Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Perubahan Iklim (COP15) itu pada saat-saat akhir, lebih 100 lagi pemimpin dunia sudah mula tiba untuk bersama sepanjang pertemuan dua minggu itu – satu petanda baik ke arah mencapai kesepakatan dalam menangani isu yang semakin mengancam dunia.

Kehadiran pemimpin penting seperti Perdana Menteri India, Manmohan Singh: Perdana Menteri Britain, Gordon Brown: Canselor Jerman, Angela Merkel; Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva dan Obama sendiri jelas menunjukkan komitmen mereka terhadap usaha berkenaan.

Seperti kata Duta Denmark ke Washington, Friis Petersen, pemimpin besar seperti mereka hanya akan hadir di Copenhagen kerana mereka tahu ia akan membawa manfaat kepada kerjaya politik mereka, sebaliknya mereka tidak akan datang jika sekadar ingin berkongsi kegagalan.

Kita percaya, cuaca dingin ibu kota Denmark yang kini pada paras 0 darjah Celsius, tidak akan mengurangkan kehangatan debat berhubung pelbagai isu, termasuk mendapatkan persetujuan mengenai komitmen negara kaya dan negara membangun berhubung had pelepasan gas karbon dioksida (CO2), selain komitmen bantuan dana di kalangan negara maju terhadap negara membangun dalam mengurangkan pembebasan CO2 itu.

Namun bagi Malaysia, delegasi kita ke persidangan berkenaan boleh dianggap kecil, mungkin kerana kita tidak menganggap isu terbabit begitu penting disebabkan kita bukan di kalangan negara mangsa seperti Bangladesh, Filipina dan Indonesia atau kita juga bukan di kalangan negara yang menyumbang kepada pemanasan global seperti India.

Apapun, persoalannya ialah penting sangatkah persidangan ini? Jawapannya ya dan tidak. Ya kerana terlalu banyak kes yang cukup kuat dan mendesak supaya tindakan tegas perlu diambil segera, manakala tidak pula kerana jika sekadar perjanjian dan persetujuan saja, ia masih terlalu jauh daripada mencukupi untuk menangani masalah besar ini.

Menangani isu perubahan iklim adalah sesuatu yang amat sukar dan lebih penting lagi ialah setiap matlamat yang dicapai nanti perlulah benar-benar efektif serta berkesan dalam mengatasi masalah berkenaan. Oleh itu, sebarang kesilapan atau kelewatan hanya akan memburukkan lagi keadaan.

Sebenarnya, isu perubahan iklim membabitkan semua negara sama ada kecil atau besar, di Barat atau Timur dan kaya atau miskin. Malah, ia turut mendominasi serta mencuri tumpuan pemimpin yang menghadiri Mesyuarat Ketua-Ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM 2009) di Trinidad & Tobago, baru-baru ini.

Kepentingannya itu terserlah apabila pada akhir mesyuarat berkenaan, Deklarasi Port-of-Spain Mengenai Perubahan Iklim yang dikeluarkan menuntut kesungguhan masyarakat dunia menangani isu pemanasan global secara mapan.

Pemimpin CHOGM melihat COP15 perlu mencapai persetujuan sebulat suara untuk merealisasikan semua keputusan menjadi perjanjian yang mengikat semua negara mematuhinya bagi mengelak dikenakan tindakan oleh badan antarabangsa itu, bukan ikatan politik semata-mata.

Yang jelas, tumpuan di Copenhagen pastinya berkisar kepada beberapa isu utama seperti faktor yang menyebabkan peningkatan suhu bumi atau teori rumah kaca, komitmen yang diperlukan bagi melaksanakan pembangunan ekonomi karbon neutral dan mampukah persidangan ini mendapatkan persetujuan bersama mengenai tahap karbon yang perlu dikurangkan menjelang 2020.

Selepas dua persidangan dan deklarasi dicapai iaitu pertama di Rio de Janeiro, Brazil pada 1992 dan di Kyoto, Jepun pada 1997 yang melahirkan Protokol Kyoto, kita sebenarnya masih begitu kabur dari segi pencapaian dan belum ada perkembangan yang benar-benar positif berhubung usaha menangani isu perubahan iklim ini.

Protokol Kyoto dimeterai untuk mengawal pelepasan gas rumah kaca dengan komitmen pertama bermula 2008 sehingga 2012, tetapi malangnya ia dianggap gagal mendapatkan sokongan global dengan beberapa negara utama pengeluar karbon seperti China, Amerika Syarikat, India, Australia dan Britain tidak bersetuju menandatangani. Tanpa penyertaan negara terbabit secara struktural, pencapaian Protokol Kyoto jadi tidak menyerlah.

Berdasarkan hakikat ini, warga dunia sememangnya amat berharap persidangan di Copenhagen yang bermula semalam akan menghasilkan sesuatu yang jitu dalam mendepani isu perubahan iklim. Satu kesepakatan baru perlu dicapai bagi menggantikan Protokol Kyoto.

Walaupun ada pihak masih sangsi dengan kemampuan persidangan kali ini, kita percaya dengan komitmen diberikan pemimpin dunia, khususnya Manmohan Singh dan Obama, kita yakin persidangan kali ini menghasilkan kesepakatan yang bukan saja penting malah berkesan dalam menangani perubahan iklim.

Sumber maklumat : Berita Harian

KURANGKAN PENGGUNAAN BOTOL PLASTIK

Botol plastik terbahagi kepada dua jenis, iaitu botol plastik yang boleh digunakan semula (jenis polikarbonat) dan botol air mineral biasa (jenis polyethylene terephalate,PET)


Secara umumnya, air yang terdapat dalam botol dikatakan lebih baik daripada air paip atau air yang telah dimasak. Ini kerana kandungan air dalam botol tidak dicemari oleh persekitaran selagi penutup botol tersebut belum dibuka. Air juga mudah dibawa dalam botol plastik kerana ia ringan, tahanpanas serta tidak mudah pecah lebih-lebih lagi sewaktu mendaki gunung atau melawat kawasan yang kurang bersih.



Air dalam botol yng terdapat di pasaran biasanya terdiri daripada air mineral, air cosmosis berbalik (RO), air suling, jus dan minuman berkarbonat. Walaupun botol ini mempunyai kelebihannya, namun ia mempunyai potensi untuk memudaratkan alam sekitar dan kesihatan. Antara kesan botol plastik kepada alam sekitar adalah:


1. Peningkatan jumlah sampah

Kebanyakan botol plastik dihasilkan untuk digunakan sekali sahaja terutamanya botol yang mempunyai label nombor 1 tertera di bawah botol tersebut. Dalam pada itu, setiap dinasihatkan untuk minum 8 gelas air sehari iaitu 4 botol (500ml) air. Cuba bayangkan jumlah sampah yang dihasilkan oleh botol plastik yang terkumpul di tapak pelupusan sampah sekiranya semua orang meminum air dalam botol plastik. Keadaan ini bertambah buruk memandangkan kadar kitar semula plastik di negara kita ini masih rendah (hanya dalam lingkungan 3%) dan botol plastik pula tidak dapat dibiodegrasikan.



2. Pembaziran air

Proses penulenan yang kompleks dan panjang dan juga kehilangan akibat penyejatan (exaporation loss) yang berlaku semasa pengilangan air kedalam botol memerlukan 3 kali jumlah air mentah untuk menghasilkan satu botol air terproses. Disamping itu, agen pencuci yang digunakan sewaktu pemprosesan botol ini boleh mencemarkan sumber air seperti sungai dan tasik.



3. Pengurangan sumber yang tidak boleh diperbaharui


Penghasilan botol plastik menggunakan bahan daripada petroleum, iaitu sumber yang tidak boleh diperbaharui. Dianggarkan 17 juta tong minyak digunakan setiap tahun di Amerika Syarikat untuk menghasilkan botol air plastik sahaja. Sumber ini akan semakin berkurangan dengan bertambahnya pengahsilan botol plastik bagi menampung permintaan pasaran yang terus meningkat.



4. Risiko kesihatan

Menurut kajian baru pada September 2008 oleh Journal of American Medical Associations' dan juga lapuran terkini (November 2008) dari programToksikologi Negara (Jabatan Kesihatan dan Perkhidmatan Manusia Amerika Syarikat), botol palstik yang menggunakan Bisphenol A (BPA) boleh membawa risiko kesihatan, lebih-lebih lagi kesihatan kanak-kanak. Penggunaan yang kasar seperti pendedahan lama kepada persekitaran yang panas, mencuci dengan agen pencuci yang kuat atau mengisi dengan air yang mendidih boleh mengakibatkan dan mempercepatkan bahan kimia ini mencemari air dalam botol.

BPA memberi kesan yang sama seperti hormon astrogen. Pengumpulannya dalam badan manusia boleh menjejaskan pertumbuhan otak, sistem kesuburan dan fungsi-fungsi lain badan.

PENYELESAIAN

Apakah yang boleh kita lakukan ialah menghantar botol plastik yang telah digunakan ke pusat kitar semula. Ini dapat mengurangkan kuantiti botol palstik yang dibuang di pusat pelupusan sampah. Akan tetapi, pastikan botol plastik yang digunakan tersebut tidak mengandungi Bisphenol A.

Botol plastik yang mengandungi BPA selalunya mempunyai nombor 7 tertera di bawah botol tersebut. Namun ini tidak bermakna semua botol plastik bernombor 7 mengandungi BPA kerana nombor 7 bermakna 'lain-lain' jenis plastik. Pastikan kandungannya dirujuk dengan pembuat botol tersebut.

Sebagai alternatif kepada botol plastik, gunakanlah botol kaca atau botol besi jenis tahan karat. Ia bukan sahaja mesra alam tetapi boleh digunakan semula. Namun pastikan anda sentiasa mencuci cawan atau botol ini dengan sabun pencuci serta pastikan ia kering dahulu sebelum mengisikan semula dengan air. Ini kerana botol yang mengandungi air adalah lebih terdedah kepada pertumbuhan kuman dan bakteria.

Sumber maklumat: Utusan Malaysia

Pentingnya menjaga warisan alam




IBU BAPA berperanan mendekatkan anak-anak dengan alam sekitar.


Jika kita dengarkan kembali lagu Hijau dendangan Zainal Abidin yang pernah hangat satu ketika dulu, pasti kita sedar akan mesej yang cuba disampaikan tentang betapa eratnya alam sekitar dengan manusia.

Bait-bait awal dalam lagu tersebut 'Bumi yang tiada rimba, seumpama hamba, dia dicemar manusia, yang jahil ketawa' memberi isyarat yang jelas kepada kita sebagai manusia atau satu-satunya makhluk yang mempunyai akal untuk berfikir dan bertindak sewarasnya dalam menjaga warisan alam sekitar yang tidak terbanding ini.

Selagi kita terus mengamalkan sikap negatif dan acuh tak acuh dalam mengekalkan alam sekitar yang bersih, indah dan tidak tercemar, maka kita sendiri akan menerima padahnya.

Buktinya, hari ini perubahan cuaca yang tidak menentu, penipisan lapisan ozon, kesan rumah hijau, banjir kilat, kenaikan suhu global, pencemaran udara dan air bertoksik adalah antara kesan buruk yang terpaksa ditanggung oleh kita kerana kealpaan dalam menjaga alam sekitar.

Banyak pihak yakin bahawa salah satu cara terbaik untuk memelihara dan memulihara alam sekitar adalah dengan memberikan pendidikan awal kepada golongan kanak-kanak.

Melentur buluh

Bukanlah alasan yang bijak jika kita mengatakan anak-anak masih terlalu kecil dan mentah untuk memahami keperluan menjaga alam sekitar.

Pepatah 'melentur buluh biarlah dari rebungnya' memberi maksud bahawa anak-anak perlu diasuh sebaik mungkin pemikiran dan sikapnya untuk menjaga alam sekitar supaya mempunyai rasa bertanggungjawab yang dibawa sehinggalah mereka menjadi dewasa.

Banyak inisiatif yang boleh difikirkan dan diamalkan oleh ibu bapa terutamanya dalam kehidupan seharian di rumah.

Sebagai memberi kesedaran dan pendidikan awal tentang penjagaan alam sekitar, ibu bapa boleh membelikan atau membawa anak-anak ke perpustakaan untuk membaca bahan-bahan yang berkaitan.

Sebagai alternatif lain, ibu bapa boleh mengajak anak-anak untuk melayari laman-laman web seperti www.kitarsemula.com, www.kid-at-art.com atau www.compostguide.com dan sebagainya yang sarat dengan maklumat, panduan dan petua penjagaan alam sekitar.

Melalui bahan-bahan pembacaan seperti ini, secara umumnya anak-anak akan dapat menghayati konsep 3R dalam penjagaan alam sekitar, iaitu 'reduce'' (kurangkan), 'reuse' (gunakan semula) dan 'recycle' (kitar semula).

Anak-anak perlu diberitahu akan fakta-fakta yang bersifat realisitik tentang alam sekitar. Misalnya, beratus-ratus pokok dapat diselamatkan daripada ditebang jika kertas-kertas terpakai dikitar semula secara bijak.

Kitar semula

Begitu juga fakta bahawa kitar semula bahan buangan mampu menjimatkan kos pengendalian pembuangan sampah sarap sehingga ratusan juta ringgit oleh kerajaan.

Antara usaha-usaha lain dalam penjagaan alam sekitar yang boleh diterapkan kepada anak-anak di rumah adalah:

Mengasuh anak-anak menggunakan sumber alam secara berhemah terutama penggunaan air dan elektrik. Sebagai contoh, air mandian dan basuhan di dapur boleh dikitar semula untuk menyiram tanam-tanaman. Suis elektrik dan lampu perlu dimatikan jika tidak digunakan lagi.

Menggalakkan anak-anak untuk tidak membuang sampah merata-rata tetapi buang di tempat yang sepatutnya. Adalah lebih baik juga untuk mendidik dan memberikan contoh kepada mereka dengan mengasingkan jenis-jenis sampah yang boleh dan tidak boleh dikitar semula seperti botol plastik, kaca, kertas dan sebagainya.

Wujudkan tong sampah di rumah mengikut jenis-jenis bahan buangan tersebut bagi memudahkan anak-anak membuang sampah mengikut kategorinya.

Mengajar anak-anak untuk mengumpulkan bahan buangan seperti tin aluminium dan surat khabar lama dan seterusnya dibawa ke pusat kitar semula yang memberikan bayaran ke atas bahan-bahan tersebut.

Anak-anak akan turut berminat menambahkan jumlah wang tabungan mereka dari semasa ke semasa dengan cara yang mudah sebegini.

Beritahu anak-anak bahawa sisa-sisa makanan harian tertentu boleh dikitar semula menjadi 'baja kompos' yang boleh digunakan sebagai baja untuk menanam bunga atau sayur.

Dengan cara ini anak-anak akan turut dapat dididik akan konsep 'berbakti kepada tanah' dan memberikan pulangan melalui hasil tanaman bunga-bungaan atau sayur-sayuran.

Majalah-majalah atau surat khabar lama boleh digunakan semula oleh anak-anak dengan cara mengumpulkan atikel-artikel tertentu untuk dijadikan buku skrap atau ensiklopedia peribadi tentang apa sahaja topik yang menjadi minat mereka.

Ibu bapa perlu menerapkan sifat berjimat cermat seperti menggunakan semula barang-barang yang difikirkan tidak perlu seperti pakaian lama yang boleh dibuat kraf tangan menjadi beg, selimut, atau alas meja. Tin atau botol plastik pula boleh diubahsuai menjadi tabung, bekas alat tulis atau arca.

Pakaian milik anak-anak yang tidak lagi digunakan mungkin boleh didermakan kepada anak-anak yatim atau badan-badan kebajikan.

Begitu juga dengan amalan di mana pakaian dan barang-barang permainan anak-anak boleh dihadiahkan kepada rakan-rakan mereka yang lain.

Untuk mengurangkan penggunaan beg plastik terutamanya yang berunsurkan styrofoam dan tidak mamu dilupuskansecara semulajadi, terapkan amalan membawa beg sendiri dalam diri kita dan anak-anak ketika hendak membeli-belah.

Galakkan anak-anak untuk menyertai program yang berkaitan dengan pemeliharaan alam sekitar. Misalnya menyertai program gotong royong membersihkan kawasan kejiranan, menyertai ceramah atau kempen penjagaan alam sekitar dan sebagainya.

Kita perlu sedar bahawa walaupun sumbangan kita dan anak-anak terhadap pemeliharaan dan penjagaan alam sekitar nampak seperti terlalu kecil, namun jika semua pihak mempunyai rasa tanggungjawab yang serupa, sudah tentu ia akan menjadi begitu berkesan dan bermakna.

Sikap positif dalam menjaga warisan alam sekitar sebegini diharapkan akan menular menjadi budaya yang akan terus dipraktikkan oleh anak-anak kita ini pada masa hadapan dan diperturunkan kepada generasi seterusnya.

Sumber Maklumat : Utusan Malaysia

14 Jan.2010

Gempa: Malaysia Tidak Terkecuali

Gempa: Malaysia Tidak Terkecuali

KUALA LUMPUR 17 Jan. – Kedudukan geografi Malaysia yang terletak di luar kawasan Lingkaran Api Pasifik bukan bermakna negara tidak akan menerima kesan gempa bumi.

Ketua Pusat Penyelidikan Alam Sekitar Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Ku Halim Ku Hamid berkata, sebelum ini ada beberapa kes negara yang tidak berada di dalam lingkaran berkenaan menerima kesan gempa bumi.

Jelasnya, kesan gempa bumi boleh berlaku dalam pelbagai bentuk seperti tsunami atau gegaran muka bumi.

“Contohnya semasa tsunami pada 2004, negara yang berada di sekitar Lautan Hindi menerima kesan tersebut yang meragut ribuan nyawa termasuk di Malaysia,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kejadian gempa bumi yang melanda Haiti Rabu lepas berukuran tujuh pada skala Richter yang meragut ribuan nyawa.

Jelas Ku Halim, gempa bumi yang berlaku di Sumatera tahun lepas dan dirasai di beberapa lokasi di Malaysia merupakan contoh yang menunjukkan negara turut menerima kesan gegaran gempa bumi.

Bagaimanapun katanya, gegaran yang dirasai bergantung kepada kekuatan gempa bumi dan bukan semua gegaran menjadi ancaman.

Menurutnya, perkara itu perlu diambil serius dan kerajaan seharusnya mempelajari daripada negara-negara yang pernah mengalami gempa bumi tentang cara menghadapinya.

“Di Jepun rakyatnya boleh menerima isyarat gempa bumi melalui telefon bimbit, malah sudah terlatih untuk menghadapinya,’’ tambahnya lagi.

Sementara itu Pensyarah Jabatan Geologi Universiti Malaya (UM), Dr. Che Noorliza Lat berkata, Malaysia pernah mencatatkan beberapa kesan gegaran gempa bumi walaupun tidak begitu kuat.

“Dari segi geografi, Malaysia memang tidak berada di dalam kawasan aktif aktiviti sebegini, tetapi kesannya tidak dapat dielakkan,’’ katanya.

Jelasnya, kawasan Pantai Barat Semenanjung yang berhampiran dengan Sumatera pernah menerima kesan gegarannya tahun lepas yang berukuran 7.9 pada skala Richter.

“Oleh itu struktur bangunan yang ingin dibina harus menitikberatkan soal ini,’’ ujarnya.

Beliau memberitahu, beberapa institusi pengajian tinggi tempatan sudah mula melakukan kajian berhubung gempa bumi dan kesan gegarannya.

Sumber maklumat: Utusan Malaysia

Pertahankan Hutan



KEPANASAN bumi sememangnya tidak boleh dinafikan. Air lautan akan bertambah juga tidak boleh dinafikan. Pulau-pulau kecil dan kawasan pesisiran pantai pasti tenggelam akhirnya.


Bahawa kepanasan global diakibatkan oleh bertambahnya karbon dioksida juga tidak boleh dinafikan. Bahawa peningkatan karbon dioksida adalah kerana pembakaran bahan api adalah suatu fakta. Begitu juga dengan pembakaran hutan. Kilang-kilang di seluruh dunia juiga menambah panas bumi. Begitu juga pembakaran dalam enjin. Baik kereta mahupun kapal terbang. Kesemuanya menambahkan karbon dioksida.


Apakah manusia sanggup menghadapi pemanasan global ini? Jika tidak ada pilihan lain, maka terpaksalah dihadapi juga. Tetapi bukan saja kenaikan suhu, tetapi perkara-perkara yang berlaku hasil daripada kesan pemanasan global. Ribut taufan dan banjir adalah antara bencana yang akan terhasil. Begitu juga dengan kekurangan air. Lebih-lebih lagi ialah kekurangan makanan akibat usaha tani yang gagal. Kesan buruknya amat besar. Tidak ada pilihan lain oleh manusia daripada mengubah dan menghadapinya.


Tetapi apa yang boleh mengurangkan kecepatan pemanasan global supaya perubahan itu tidak mendadak ialah jika karbon dioksida itu dapat diserap oleh tumbuhan. Salah satu penyebab kepada peningkatan kehadiran karbon dioksida ialah kekurangan tumbuh-tumbuhan di planet bumi.


Penyumbang terbesar kepada proses penyerapan karbon dioksida pula ialah hutan hujan tropika. Itulah hutan yang ada di Nusantara. Kawasan terbesar di Khatulistiwa bagi adanya hutan hujan tropika ialah di tengah-tengah benua Afrika Selatan iaitu Brazil, benua Afrika iaitu Congo dan di Asia Tenggara, iaitu pulau Borneo.


Kaya


Nusantara merupakan wilayah yang kaya dengan hujan hutan tropika. Selain Borneo iaitu Kalimantan, Sarawak dan Sabah, juga pulau Sumatera dan Semenanjung Malaysia.


Tetapi di mana-mana hutan hujan tropika di dunia ini, mereka menghadapi ancaman kepada kerosakan melalui pembalakan haram. Baik di Brazil, mahupun di Indonesia dan Malaysia.


Dalam keadaan kritikal adalah sepatutnya, hutan hujan tropika yang ada mesti dipertahan dan disimpan, dan tidak diusik-usik lagi. Tetapi diketahui bahawa penguatkuasaan pembalakan haram amat sukar dilaksanakan.


Laporan bahawa Cameron Highlands semakin memanas dengan hutannya dicabar menunjukkan bahawa sepatutnya kawasan-kawasan seperti itu sudah tidak patut dikembangkan lagi. Pembangunan mesti dihentikan dan hutan yang ada dipelihara.


Bagi Selangor pula, sudah sepatutnya tidak ada lagi hutan yang dimusnahkan untuk digantikan dengan kawasan pertanian atau pembangunan bandar. Sementara di Kuala Lumpur, kehijauan yang ada mesti dipertahankan khususnya di sekitar Bukit Tunku. Justeru memusnahkan kawasan hijau di sekitar Tugu Negara untuk dibangunkan Pusara Negara akan mengurangkan kawasan hutan dalam Kuala Lumpur.


Jadi jika hutan-hutan hendak dipertahankan, di manakah tempat untuk dibuat pembangunan? Bandar-bandar baru serta ladang-ladang perlu dibuka untuk menampung penduduk yang semakin bertambah.


Salah satu caranya ialah pembangunan semula kawasan-kawasan yang kurang digunakan secara optimum. Bandar-bandar lama wajar dibangun semula supaya boleh meningkatkan ruang bagi penempatan penduduk-penduduk baru.


Tetapi mampukah kita bertindak bijak?

Sumber Maklumat
Utusan Malaysia.

Kenapa Lapisan Ozon Penting ?

Kenapa Lapisan Ozon Penting ?

Selain mengawal peredaran suhu di dalam atmosfera, lapisan ozon juga sebenarnya mempunyai kepentingan menyerap radiasi sinaran ultra ungu (UV) yang tinggi daripada matahari sebelum sampai ke permukaan bumi.

Ini kerana, pancaran berbentuk UV spektrum ini sebenarnya mempunyai jarak gelombang yang lebih pendek daripada cahaya nyata atau cahaya nampak iaitu di antara 280 hingga 315 nanometer (nm) boleh merosakan hampir semua kehidupan.

Kajian saintis mendapati, ketika ini lapisan ozon semakin mengalami kerosakan dan menipis kesan penggunaan gas klorofluorokarbon (CFC) secara tidak terkawal.

Gas CFC boleh terhasil daripada pelbagai cara seperti penggunaan peti sejuk, bahan peyembur, bahan pelarut, produk berasaskan polisterin dan juga perindustrian perkilangan.

Masalah penipisan lapisan ozon yang semakin meruncing ini telah mendapat perhatian daripada banyak pihak terutamanya persatuan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP)

Selain itu, penduduk dunia juga kini telah mula memandang serius masalah tersebut dan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik dalam usaha memastikan generasi masa depan dapat mewarisi alam sekitar yang selamat.

Sumber maklumat:
Estidotmy, Edisi 95.

Kenapa Lapisan Ozon Penting ?

Selain mengawal peredaran suhu di dalam atmosfera, lapisan ozon juga sebenarnya mempunyai kepentingan menyerap radiasi sinaran ultra ungu (UV) yang tinggi daripada matahari sebelum sampai ke permukaan bumi.

Ini kerana, pancaran berbentuk UV spektrum ini sebenarnya mempunyai jarak gelombang yang lebih pendek daripada cahaya nyata atau cahaya nampak iaitu di antara 280 hingga 315 nanometer (nm) boleh merosakan hampir semua kehidupan.

Kajian saintis mendapati, ketika ini lapisan ozon semakin mengalami kerosakan dan menipis kesan penggunaan gas klorofluorokarbon (CFC) secara tidak terkawal.

Gas CFC boleh terhasil daripada pelbagai cara seperti penggunaan peti sejuk, bahan peyembur, bahan pelarut, produk berasaskan polisterin dan juga perindustrian perkilangan.

Masalah penipisan lapisan ozon yang semakin meruncing ini telah mendapat perhatian daripada banyak pihak terutamanya persatuan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNEP)

Selain itu, penduduk dunia juga kini telah mula memandang serius masalah tersebut dan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik dalam usaha memastikan generasi masa depan dapat mewarisi alam sekitar yang selamat.

Sumber maklumat:
Estidotmy, Edisi 95.

IMPAK ALAM




Beg Plastik, Pembunuh Senyap

TAHU atau tidak, bahan plastik memerlukan 100 hingga 500 tahun untuk lupus jika ditanam dan jika dibakar ia memberikan impak yang lebih besar kepada alam sekeliling termasuk manusia.

Dan ada kajian yang menunjukkan statistik rakyat Malaysia membuang plastik yang sebenarnya boleh dikitar semula bernilai kira-kira RM163 juta.


Jumlah yang banyak itu bukan hanya membazir dan sepatutnya boleh dikitar semula, namun dalam masa yang sama ia turut merosakkan alam sekitar. Dalam erti kata lain, masyarakat Malaysia masih kurang peka terhadap keadaan alam sekeliling yang semakin merosot tanpa mengambil pendekatan yang serius.


Apa pun, kini ada sedikit kesedaran di mana Pulau Pinang, Selangor dan Sarawak berjaya mengumumkan Hari Tanpa Plastik dan dilihat memberi sedikit sinar kepada bumi.Malah bukan hanya dua negeri ini, kompleks membeli-belah, institusi pengajian tinggi, syarikat-syarikat produk tempatan dan banyak lagi yang mengambil inisiatif sama untuk mengurangkan atau tidak menggunakan plastik sama sekali.


Tapi kenapa plastik menjadi agenda utama dalam pemuliharaan alam sekitar.


“Bukan penggunaan plastik menjadi masalah utama tetapi cara pelupusan bahan tersebut yang memberi impak pada alam sekitar,” respons spontan Presiden Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS), Tan Sri Dr. Salleh Mohd Nor mengenai penggunaan beg plastik di Malaysia.


Dalam satu temu bual yang diadakan sebelum ini, Dr. Salleh mengatakan beg plastik mampu memberi ancaman paling besar jika tiada rancangan yang teliti mengenai pengurusan pembuangan bahan plastik tersebut.


Kata beliau: “Plastik memerlukan lebih daripada program kitar semula yang biasa dan teknologi yang digunakan haruslah berkesan untuk menyelesaikan isu ini.


“Jadi kenapa sehingga sekarang, kita masih belum mampu menetapkan peraturan ketat seperti dilakukan oleh beberapa negara Eropah yang mewajibkan pengguna membawa beg sendiri atau dikenali sebagai Green Bag sebagai ganti beg plastik ketika membeli-belah.”


Satu perangkaan lain pula mengatakan, secara purata di Malaysia, seorang individu menggunakan hampir lapan beg plastik seminggu dan ada di antara mereka membuang beg plastik berkenaan selepas hanya dipakai sekali.


Tidak banyak yang diketahui kenapa bahan ringan, tidak mudah pecah, dan murah ini menjadi ancaman kepada alam sekitar jika pembaca tidak meneliti jurnal dan makalah saintifik.


Yang nyata, beg plastik mengandungi satu bahan yang dikenali sebagai sebatian organik Bis(2-ethylhexyl)phthalate atau lebih dikenali sebagai DEHP atau phthalates (disebut THA-lates), satu bahan yang akan membuatkan bahan plastik menjadi lembut dan mudah dilentur.


Penyelidik di Universiti Harvard pada tahun 2002 berjaya membuat penemuan baru mengenai kesan kimia phthalates yang mampu merosakkan DNA sperma manusia.


Walaupun pengeluar mengatakan dos phthalates yang digunakan mematuhi syarat standard pengeluaran, namun dalam tempoh yang panjang, pengguna sebenarnya terdedah secara berterusan kepada kimia ini yang mampu memudaratkan manusia.


Puncanya adalah daripada kita, maka kita juga mampu untuk menyelesaikannya. Apa kata, bermula hari ini, hindarkan daripada menggunakan beg plastik.


Sumber maklumat:
Utusan Malaysia

PEMANASAN GLOBAL KIAN SERIUS TUNTUT KEPRIHATINAN WARGA BUMI

Setiap Negara Perlu Bertanggungjawab Kurangkan Pelepasan Kadar Karbon, Kawal Kadar Pencemaran Alam Sekitar


PEMANASAN global yang semakin hangat diperkatakan di seluruh dunia dilihat mempunyai hubungan langsung dengan peningkatan gas rumah hijau utama seperti karbon dioksida dan metana. Persoalannya, mengapa gas ini memberi impak penting dalam pemanasan global?

Sebagai perumpamaan mudah, gas yang terapung di atmosfera boleh diibaratkan sebagai selimut besar kepada bumi. Ia hanya membenarkan kemasukan cahaya matahari dan sampai ke permukaan bumi, namun bertindak menghalang cahaya dibalikkan oleh permukaan bumi keluar semula ke ruang angkasa.

Pemerangkapan cahaya yang berlaku secara berterusan dalam bentuk tenaga haba menyumbang kepada peningkatan suhu bumi. Kesan pemanasan yang berlaku ini dapat dilihat dengan jelas melalui kecairan glasier utama dunia serta ais di kawasan Artik dan Antartika yang berlaku dengan kadar yang sangat pantas ketika musim panas.

Kajian dan pemerhatian yang dijalankan di Institusi Oseanografi Scripps, Mauna Loa, Hawaii, Amerika Syarikat yang bermula pada 1958 sehingga kini menunjukkan pola peningkatan karbon dioksida yang begitu ketara dan keadaan ini pastinya menimbulkan kebimbangan di kalangan pakar kaji cuaca.

Bagaimanapun, sebilangan kecil saintis berpendapat pemanasan global yang berlaku hari ini bukan berpunca daripada kesan langsung peningkatan kandungan gas rumah hijau di lapisan atmosfera. Sebaliknya, lebih kepada pengaruh aktiviti solar matahari, di mana ahli astrologi mengesan pertambahan titik panas di permukaan matahari sejak beberapa dekad yang lalu.

Pertambahan titik panas ini dikatakan mempunyai corak hampir sekata dengan pola peningkatan suhu bumi berbanding pertambahan kandungan karbon dioksida. Titik panas yang dikesan ini menghasilkan radiasi tinggi yang mampu mempengaruhi suhu planet yang mengelilingi matahari termasuk bumi.


Selain itu, ada juga persepsi bahawa isu berkaitan di antara kesan gas rumah hijau dan pemanasan global sengaja dicipta untuk meningkatkan dana dan peruntukan bagi kajian bidang meteorologi dan kajian iklim. Sebagai contoh, penyediaan dana daripada Kerajaan Britain pada awal 1980-an untuk penyelidikan kesan pemanasan global yang disebabkan gas rumah hijau.

Rentetan daripada kelulusan itu, pelbagai dana dan peruntukan datang mencurah-curah untuk bidang meteorologi dan kajian iklim khususnya membabitkan kesan gas rumah hijau. Seterusnya menyediakan banyak peluang pekerjaan dalam bidang ini serta membuka pelbagai cabang kajian yang berkaitan.

Dari sudut lain pula, pemanasan yang berlaku dianggap satu kitaran normal bagi bumi dengan merujuk kepada kitaran interglasier yang berlangsung sejak berjuta-juta tahun dulu. Suatu masa dulu, permukaan bumi pernah mengalami keadaan yang diistilahkan ‘Free of Ice’ pada 500 juta tahun yang lalu dan juga zaman ‘Last Glacial Maximum’ pada 20,000 tahun lalu.

Jadi mengikut pandangan mereka, tidak hairanlah jika suatu masa nanti permukaan bumi akan kembali seperti 500 tahun dulu, di mana tiada lagi glasier dan ais di kedua-dua kutub bumi.


Mungkin pendapat yang diketengahkan itu ada kebenarannya. Namun, pemerhatian yang lebih teliti terhadap data meteorologi khususnya daripada program Iklim: Kajian Jangka Panjang, Pemetaan dan Jangkaan (CLIMAP) menunjukkan pola perubahan cuaca yang berlaku beberapa dekad ini lebih cepat dan pantas berbanding kitaran pemanasan sama yang pernah berlaku jutaan tahun lalu.

Keadaan ini dibuktikan dengan kadar kehilangan ais yang berlaku di kawasan Artik, iaitu sebanyak 8.5 peratus setiap dekad selepas ledakan zaman perindustrian. Pakar kaji cuaca Artik daripada Pusat Data Salji dan Ais di Boulder, Calorado, Mark Serreze menjangkakan pada 2030 tiada lagi kawasan di Artik yang dilitupi ais ketika musim panas.

Umum mengetahui ketika era perindustrian berlangsung sekitar 1960-an, pelepasan gas rumah hijau ke atmosfera berlaku mendadak dan kandungannya di atmosfera bumi semakin bertambah setiap tahun, ia turut menyumbang kepada pelbagai masalah pencemaran dunia seperti peningkatan suhu, hujan asid, jerebu dan sebagainya.

Situasi ini harus membuatkan kita sedar bahawa pemanasan iklim global yang berlaku hari ini bukan lagi sekadar proses semula jadi malahan turut didorong dan dipengaruhi faktor manusia.

Sebagai warga dunia yang prihatin, kita harus bimbang dengan fenomena pemanasan global yang semakin kritikal dan sewajarnya satu tindakan secara bersama dan drastik bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau perlu dilakukan. Percayalah sumbangan dan usaha kecil kita hari ini mempunyai makna yang cukup besar untuk generasi akan datang.

Sumber Maklumat
Berita Harian

BAJA KOMPOS: JIMAT, PRAKTIKAL, MENGUNTUNGKAN

BAJA KOMPOS: JIMAT, PRAKTIKAL, MENGUNTUNGKAN


Sampah sarap punca pencemaran alam sekitar

Melalui kitar semula kita boleh berjimat malah dapat menambah pendapatan sekiranya kita bijak dan kena dengan caranya. Adakah kita terfikir hasil sisa lebihan makanan yang kita buang saban hari boleh dijadikan baja kompos. Untuk menghasilkan baja kompos ini, kita hanya perlu menyediakan satu kawasan khas bagi membolehkan sampah itu ditimbun dari hari kehari.

Malah, dengan amalan membuat baja kompos ini secara tidak langsung kita boleh menyelamatkan alam sekitar, ini kerana punca pencemaran alam sekitar yang paling ketara ialah melalui pembuangan sampah.

Selain itu juga, kita juga boleh mengurangkan pengeluaran gas rumah hijau yang menjadi agenda utama kerajaan dalam menghijaukan negara. Mungkin selepas ini semuas sisa makanan yang hendak dibuang seperti buah-buahan, sayuran, kulit telur, rumput, daun-daun pokok, serbuk teh dan kopi dikumpulkan untuk kita jadikan baja kompos.

Bagi mendapatkan baja kompos yang lebih hebat untuk dijadikan baja asli kita juga boleh menggunakan sisa seperti tahi kuda, tahi kambing dan tahi ayam.

Bagi menghasilkan baja kompos ini kita hanya perlu timbunkan sisa-sisa makanan pada satu tempat. Setiap hari sisa makanan yang dikumpul itu boleh dilapiskan dengan daun-daun kering. Dan bagi mengelakan dari hidupan liar atau anjing sampah tersebut boleh ditutup menggunakan jaring.

Proses ini akan mengambil masa yang panjang bagi membolehkan organisma termasuk cacing membantu penghuraian bahan buangan dalam menghasilkan nutrien dan baja. Proses ini akan siap sekiranya warna tanah telah bertukar hitam. Tanah tersebut perlu digemburkan dari semasa kesemasa bagi membolehkan berlakunya peredaran udara dan kelembapan pada timbunan baja kompos tersebut.

Baja kompos ini juga mampu menjadi medium pembesaran yang kaya dengan humus dan nutrien dan merupakan bahan tambahan kepada tanah. Ia juga merupakan bahan penyerap yang akan mengumpul kelembapan dan mineral terlarut sebagai sokongan dan nutrien kepada tumbuh-tumbuhan.

LAMAN WEB JABATAN ALAM SEKITAR



Klik untuk ke Laman Web Jabatan Alam Sekitar

http://www.doe.gov.my/ms

Tanah Bencah @ Wetland dan Huraiannya

Tanah Bencah @ Wetland dan Huraiannya

Tanah bencah merupakan kawasan daratan dan kawasan berair yang bertemu.Kawasan tanah bencah sentiasa bertakung airnya sepanjang tahun.Mengikut Persidangan Ramsar(Sambutan Hari Tanah Lembap Sedunia),tanah bencah merupakan kawasan seperti paya ,paya gambut,kawasan berair sama ada buatan manusia atau semulajadi,bersifat kekal atau sementara dengan air mengalir atau bertakung,air payau atau air masin termasuklah air yang kedalamannya tidak melebihi 6 meter semasa air surut.( Definisi Persidangan Ramsar di Iran tahun 1971,Malaysia bermula pada tahun 1995 dengan Tasik Bera Pahang merupakan lokasi pertama pertama diisytiharkan sebagai kawasan Ramsar atau bencah pertama negara.)



padi

Kawasan sawah padi merupakan kawasan yang kaya dengan tanih aluvium,tanih paling berkualiti dan sesuai untuk tanaman padi sawah.

Tanah bencah terdiri dari tanah bencah semulajadi serta tanah bencah buatan manusia.Antara tanah bencah semulajadi di Malaysia melibatkan Tasik (seperti Tasik Bera dan Tasik Cini ),Sungai,Kuala (contohnya Kuala Gula di Perak ), paya gambut( contoh popular seperti Paya Indah Wetlands di Selangor) serta delta( seperti Delta Rajang di Sarawak,iaitu sungai Rajang). Manakala tanah bencah buatan yang popular ialah seperti empangan seperti empangan Kenyir,kawasan sawah padi seperti di Kedah,Perak dan Selangor.

Tanah bencah mempunyai sifat ekologi yang sangat dinamik,malahan kepelbagaian biodiversiti juga terdapat di sini.Peranan tanah bencah sangat rapat dengan ketamadunan manusia iaitu melibatkan sumber air dan makanan.Malahan membuktikan kewujudan negara atau kerajaan purba seperti di Mesir,China ,India malahan Malaysia sendiri di dirikan serta maju di kawasan muara sungai.

Antara fungsi atau kepentingan tanah bencah ialah:

Sumber Air
Tanah bencah sebenarnya merupakan sumber air kepada hidupan secara langsung atau tidak langsung.Tanah bencah menyediakan air yang boleh terus diambil,malahan kawasan tanah bencah juga berkait rapat dengan sumber air seperti air perigi.Tanah bencah menyediakan sumber air utama pada air bawah tanah atau akuifer.Tasik juga membekalkan air kepada penduduk sekitarnya seperti di Pahang.

Kawalan Banjir
Tanah bencah sebenarnya mampu memerangkap air sewaktu banjir dan membantu melindungi kawasan rendah daripada di landa banjir.Oleh kerana tanah bencah merupakan kawasan yang rendah maka tahap takungan airnya tinggi.Walaupun sudah berair...banyak tempat tanah bencah sekadar mempunyai air yang minimum sahaja dan mampu menampung air pada waktu hujan lebat.


Memerangkap sedimen
Tanah bencah berfungsi seolah-olah sebagai filter yang boleh memerangkap sedimen seperti kelodak yang melaluinya sebelum menuju ke laut.Malahan fungsinya yang unik ini bagi paya bakau merupakan penambak laut semulajadi.Sedimen serta kelodak yang terperangkap bertahun-tahun lamanya membolehkannya tanah daratan bertambah luas.


Kawalan nutrien dan kawalan bahan pencemaran
Ekosistem tanah bencah yang unik berupaya memerangkap nutrien dan mengawal kandungan nutrien di dalam air.Kewujudan tanah aluvium,sebagai tanah terbaik untuk penanaman padi sawah seperti di Delta Kedah dan Delta Kemubu Kelantan merupakan kawasan bencah yang terkenal sebagai kawasan penanaman padi di Malaysia yang mempunyai tanih aluvium yang sangat subur untuk padi sawah..Sesetengah tumbuhan di kawasan tanah bencah mampu menyerap serta menapis bahan pencemar yang melaluinya.

Pelindungan Pinggir Pantai
Tanah bencah melindungi pinggir pantai daripada mengalami proses hakisan yang serius.Malahan tanah bencah juga merupakan penebat tenaga angin untuk menyerap tenaga angin ketika berlakunya ribut di pinggir pantai.Malahan dikatakan jika sepanjang pantai di Banda Acheh tanah bencahnya tidak diganggu untuk membangunan,tanah bencah yang dipenuhi dengan pokok bakau mampu menyerap hentaman tsunami sebanyak 30%.

Habitat kehidupan atau flora dan fauna.

Tanah bencah juga merupakan habitat bagi kehidupan seperti ikan burung serta manusia.Kepelbagaian kehidupan ini serta tumbuhannya menjadi daya tarikan untuk haiwan mendiami kawasan tanah bencah.

Biodiversiti
Tanah bencah merupakan kawasan pertemuan antara ekosistem daratan dengan ekosistem akuatik yang mempunyai kepelbagaian hidupan berinteraksi antara satu sama lain.


Tanah bencah merupakan khazanah daipada tuhan yang sangat bernilai kepada kita semua. Banyak tanah bencah telah diubah suai atau ditebus guna untuk kegiatan ekonomi terutamanya.Kawasan tanah bencah yang diwartakan sebagai tanah bencah simpan perlu supaya generasi akan datang dapat mengenali tanah bencah serta fungsinya di masa akan datang.



Sumber: geomalaysia.blogspot

Kempen Tanam 26 Juta Pokok

Kempen Tanam 26 Juta Pokok

Sempena Hari Bumi Sedunia, Malaysia melancarkan kempen di seluruh negara untuk menanam 26 juta pokok menjelang 2014. Angka 26 juta dipilih berdasarkan kira-kira 26 juta penduduk Malaysia pada ketika ini. Dengan bertemakan Hijaukan Bumi: Satu Warga, Satu Pokok.


Sebanyak 16,200 pokok telah ditanam dengan 500 daripadanya ditanam di tapak pelancarannya.


Pelancaran kempen telah disempurnakan oleh Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Douglas Unggah Embas di Presint 5 berhadapan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).


Selain di Putrajaya, pokok lain ditanam di tapak pelancaran di Alor Setar, Kedah; Kangar, Perlis; Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak; Bachok, Kelantan; Kemaman, Terengganu; Pulau Melaka, Melaka; Seremban, Negeri Sembilan; Kulai, Johor; Temerloh, Pahang; Padang Kota Lama, Pulau Pinang; Hulu Selangor, Selangor; Kota Kinabalu, Sabah; dan Petra Jaya, Sarawak.


Semasa melancarkan kempen itu Datuk Seri Unggah berkata,"Dianggarkan seluas 38,470 hektar kawasan hutan terosot, kawasan hutan yang telah dibalak, pesisiran pantai dan kawasan bandar akan ditanam pokok di bawah kempen ini menjelang 2014,"
Katanya lagi, kempen itu selaras usaha kerajaan memastikan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada keluasan negara ini dilitupi kawasan berhutan, selaras komitmen Malaysia di Persidangan Rio pada 1992.


Ketika ini, katanya, jumlah keluasan kawasan berhutan adalah 56.4 peratus dan jika termasuk kawasan tanaman pertanian negara, ia meliputi 75 peratus daripada keluasan tanah negara.

Disunting daripada : Utusan Malaysia

RIBUT PETIR

Di Malaysia, ribut petir merupakan fenomena biasa yang berlaku sepanjang tahun dan selalunya berlaku pada waktu petang dan awal senja.

Apakah Ribut Petir?



Ribut petir ditakrifkan oleh Pertubuhan Kajicuaca Sedunia (WMO) sebagai kejadian satu atau lebih nyahcas elektrik secara tiba-tiba.yang menghasilkan lintasan cahaya (kilat) dan bunyi gemuruh (guruh)

Bagaimana Ia Terjadi?


Ribut petir biasanya terjadi dalam keadaan atmosfera yang lengas dan tidak stabil

*
Awan kumulus terbentuk apabila udara panas berlengas naik dari permukaan bumi ke altitud yang lebih tinggi dan memeluwap.
*
Ia berkembang secara menyisi dan menegak menjadi awan padat yang lebih besar yang disebut sebagai awan kumulonimbus, dengan golakan kuat di dalamnya dan aliran keluar yang kuat di bawah dasarnya.
*
Awan ribut petir yang matang kerapkali mempunyai struktur bersel dengan diameter mencapai 3 ke 5 kilometer dan ketinggiannya melebehi 10 kilometer. Ia boleh wujud secara terpencil, berkelompok atau dalam garisan.
*
Purata tempoh hidup ribut petir ialah antara 15 hingga 30 minit tetapi dalam keadaan tertentu, tempoh ini jauh lebih lama.
*
Ribut petir berpotensi untuk menghasilkan hujan batu, hujan lebat, kilat sabung menyabung dan angin kencang. Sesetengah keadaan cuaca yang sangat buruk boleh terjadi apabila kelompok ribut petir melanda sesuatu kawasan untuk tempoh yang panjang

Letusan Ke Bawah

Letusan ke bawah ialah istilah yang menjelaskan tentang penurunan cepat udara di suatu kawasan kecil di bawah ribut petir. Angin kencang yang terhasil boleh mencapai kelajuan yang amat tinggi sehingga boleh menyebabkan kemusnahan ketara di sepanjang laluannya dan sangat berbahaya kepada operasi penerbangan.

Apakah Kilat?

Udara yang turun naik di dalam awan ribut petir mengakibatkan pemisahan cas positif dan cas negatif. Kilat adalah nyahcas yang terhasil apabila perbezaan cas elektrik di antara permukaan bumi dan atmosfera cukup besar untuk mengatasi kesan penebatan udara. Kilat boleh terjadi samada di dalam awan, dari awan ke awan, atau antara awan dengan permukaan bumi. Kilat kerap menyambar di luar kawasan hujan lebat dan boleh berlaku sejauh 10 batu dari kawasan hujan tersebut.

Udara berhampiran kawasan yang dipanah kilat menjadi panas dan mencapai suhu melebihi 27,000°C - iaitu lebih panas daripada permukaan matahari. Pemanasan dan penyejukan cepat udara berhampiran kawasan yang terkena kilat menghasilkan rencatan gelombang yang mengejut lalu menghasilkan guruh.

Tempoh Ribut Petir Selalu Berlaku

Ribut petir boleh berlaku sepanjang tahun tetapi selalunya semasa tempoh antara monsun iaitu dari April hingga Mei dan dari Oktober hingga November.

Ribut petir boleh berlaku sepanjang tahun tetapi selalunya semasa tempoh antara monsun iaitu dari April hingga Mei dan dari Oktober hingga November. Di daratan, ribut petir lazimnya terjadi pada waktu petang dan senja manakala di lautan, ia kerap berlaku pada sebelah malam.

Kilat boleh menyebabkan kerosakan peralatan elektrik yang terpasang dan boleh mencetuskan kebakaran. Kebanyakan kematian dan kecederaan akibat daripada kilat terjadi kepada mereka yang berada di luar bangunan.

GEMPA BUMI

APAKAH YANG DIKATAKAN GEMPA BUMI

Gempa Bumi sama seperti taufan bukan hanya satu tenaga yang besar tetapi masih menjadi misteri bagaimana untuk meramal dan menduga.

Bagai memahami paras kerosakan yang berkaitan dengan gempa bumi kita perlu melihat gempa yang berlaku sebelumnya.

Jika kita melihat kembali ke 27 Julai 1976 di Tangshan, China, satu gempa bumi besar yang menyebabkan 255,000 orang terkorban.

Dalam tragedi berkenaan dianggarkan 690,000 orang cedera serta bangunan hilang dalam sekelip mata.

Skala kemusnahan sukar digambarkan tetapi semua skala gempa bumi terus berlaku sepanjang masa.

Apakah yang menyebabkan gempa bumi? Lapisan luar bumi diperbuat daripada lapisan nipis yang terbahagi kepada beberapa bahagian atau plat tektonik.

Hujung setiap plat tektonik adalah sempadan yang akan bergesel antara satu sama lain dan dalam tempoh masa tertentu tekanan yang bertambah akan menyebabkan gegaran atau gempa bumi.

Kekuatan gempa bumi diukur menggunakan mesin yang dinamakan seismograf. Mesin ini merekodkan gegaran dan saintis boleh mendapatkan ukuran kuasa gempa dalam skala ritcher.

Nombor 1 hingga 10 dan nombor 1 adalah gempa bumi kecil yang biasa berlaku setiap hari dan biasanya manusia tidak merasainya.

Nombor 7 hingga 10 adalah gempa bumi paling kuat yang berlaku dalam masa 10 hingga 20 tahun.

Sumber Maklumat: Kementerian Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI)



MALAYSIAN/CENTRE FOR GEOSPATIAL DATA INFRASTRUCTURE (MaCGDI)

Keperluan terhadap maklumat geospatial (tanah) bagi tujuan pembangunan negara telah wujud sejak zaman sebelum merdeka lagi. Tindakan untuk memenuhi keperluan tersebut telah dimulakan secara rasmi dengan pembangunan Sistem Maklumat Tanah atau Land Information System (NaLIS) pada tahun 1987.

Pada tahun 2002, Pusat Infrastruktur data Geospatial Negara atau Centre For Geospatial Data Infrastructure (MaCGDI) telah ditubuhkan bagi menggantikan NaLIS. Ia diletakkan di abawah seliaan Kementerian Tanah dan Koperasi yang kini telah digantikan dengan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar.

Tujuan penubuhannya ialah untuk menyedia, menyelaras dab mengendalikan infrastruktur serta maklumat geospatial yang mutahir untuk pembangunan ekonomi, kualiti dan keseimbangan alam sekitar serta pembangunan sosial negara.

Berikut Adalah Objektif Penubuhan MaCGDI:

* Menyediakan mekanisme/infrastruktur bagi memudahkan penggunaan dan perkongsian data geospatial di kalangan agensi pembekal dan pengguna.
* Mengelakkan pembaziran dari usaha-usaha bertindih dalam pengutipan, pemerosesan, penyenggaraan, penyediaan, dan pengedaran maklumat geospatial yang diperlukan untuk tujuan perancangan, pengawasan dan penjagaan tanah.
* Menggalakkan penggunaan data geospatial yang lebih meluas di peringkat negeri dan nasional.
* Merancang dan meningkatkan kesedaran terhadap nilai data geospatial dan teknologi yang berkaitan.

Fungsi-Fungsi MaCGDI Pula Ialah Seperti Berikut:

* Menjadi penasihat kepada sektor awam dalam penggubalan dan pelaksanaan dasar bagi urusan data geospatial.
* Bertindak sebagai badan penyelaras bagi pembangunan data geospatial dan standard maklumat geografi/geomatik.
* Bertindak sebagai Pusat Penyebaran Maklumat Geospatial Negara (PPMGN).
* Menjadi pusat rujukan teknikal bagi khidmat nasihat dan pakar runding berkaitan pembangunan dan penggunaan data geospatial.
* Menyediakan infrastruktur data geospatial dan menyelaras aktiviti clearinghouse.
* Merancang dan melaksanakan program pembangunan sumber manusia dalam bidang Sistem Maklumat Geografi (GIS).
* Menjalankan pelbagai aktiviti untuk mempromosikan MyGDI ke seluruh negara dan menggalakkan penggunaannya.
* Menjadi pusat penyelidikan dan pembangunan (R & D) bagiGIS.
* Mewakili sektor awam dalam forum dan mesyuarat berkaitan data geospatial di peringkat antarabangsa.

Kepentingan Kesedaran Dan Bersiap Sedia Menghadapi Gempa Bumi

Gempa bumi adalah salah satu daripada fenomena alam yang paling menggerunkan dan mengakibatkan kemusnahan. Ini adalah kerana kejadiannya tanpa amaran, menakutkan ramai penduduk dan menjadikan mereka kurang bijak serta berkelakuan yang boleh memudaratkan. Memandangkan pengetahuan dan persediaan merupakan kunci kepada keselamatan semasa dan selepas sebarang bencana, anda harus mengambil langkah-langkah perlu supaya sentiasa bermaklumat. Adalah penting bahawa penduduk yang tinggal di kawasan-kawasan mudah dilanda gempa bumi mengambil beberapa langkah berwaspada dan tahu apa yang perlu dilakukan apabila berlaku gempa bumi susulan. Adalah tidak pasti bahawa dengan adanya persediaan dan mengetahui apa yang perlu dilakukan boleh menyelamatkan nyawa, mengurangkan kecederaan dan meminimakan kerosakan harta-benda. Tambahan lagi penduduk yang tahu apa yang perlu dilakukan semasa gempa bumi akan lebih bersikap tenang dan pengetahuan tersebut bermanfaat baginya. Kesedaran adalah langkah pertama dan persediaan adalah kuncinya.

Bagaimana Anda Harus Bersedia Untuk Gempa Bumi

Kita mesti tahu bagaimana mempersiapkan diri kita untuk menghadapi gempa bumi supaya bila ianya terjadi kita telah bersedia untuk bertindak. Senarai berikut menerangkan tentang persediaan-persediaan yang boleh dilakukan sebelum gempa bumi susulan. Sebahagian daripada saranan-saranan tersebut agak payah untuk dilaksanakan. Persediaan memerlukan masa dan usaha tetapi anda lebih perlu banyak bertenang dan bersikap wajar jika anda telah memikirkannya lebih awal., bukan sahaja dirumah tetapi juga di tempat kerja, di dalam setor, di lorong-lorong, di dalam kereta dan di tempat-tempat lain yang anda pergi. Bila sahaja bencana menimpa anda mesti bersedia untuk bertindak.

Apa Harus Anda Lakukan Semasa Berlaku Gempa Bumi?

Sekiranya Anda Di Dalam Bangunan
* Duduk di dalam bangunan
* Ambil perlindungan di bawah meja, meja tulis atau bangku yang teguh atau tempatkan diri anda di ambang pintu atau satu sudut.
* Bergerak ke arah laluan sebelah dalam (ambang pintu atau bingkai berstruktur atau sebelah dalam bangunan iaitu pusat paling kuat dan kurang kemungkinan untuk runtuh. Ia juga akan mengurangkan impak daripada objek yang jatuh) di mana mungkin.
* Pilih lokasi yang boleh memberikan udara untuk bernafas dalam keadaan di mana bangunan runtuh di sekeliling anda.
* Jauhkan diri anda daripada tingkap, rak buku, kabinet, cermin berat, pasu bunga tergantung dan lain-lain objek berat yang boleh menggelungsur dan jatuh.
* Gerakan berbentuk gelombang boleh meremukkan cermin. Berhati-hati dengan kepingan simen yang jatuh.
* Peluk sesuatu (kot, selimut, buku, akhbar, kotak kadbod dan lain-lain) untuk menutup kepala dan muka daripada bahan yang jatuh dan serpihan kaca.
* Jangan gunakan lilin, mancis atau lain-lain punca api di sebabkan ada kemungkinan kebocoran gas.


Duck Cover Hold

* Berlindung di bawah meja atau perabot berat yang seumpamanya. Jauhkan diri daripada tingkap.
* Jangan tergesa-gesa keluar memandangkan tangga mungkin rosak dan sesak dengan penghuni lain dan keadaan yang masih bergoncang.


Sekiranya Anda Di Dalam Bangunan Yang Tinggi

* Berlindung menggunakan duck, cover and hold, dan kemudian tinggalkan bangunan sekiranya pemindahan diperlukan.
* Jangan gunakan lif
* Patuhi prosedur pengungsian bangunan.

Sekiranya Anda Di Laluan Pejalan Dekat Bangunan

Berjalan masuk ke arah muka pintu atau rapat ke struktur bangunan untuk melindungi diri anda daripada batu-bata, kaca, kepingan simen dan barangan lain yang jatuh.

Sekiranya Anda di dalam Kereta yang Bergerak
* Berhentikan kereta secepat mungkin apabila telah pasti selamat di kawasan yang sesuai.
* Walaubagaimanapun, jangan berhenti di bawah jambatan atau lintasan atas atau rentangan kabel atau di mana bangunan boleh runtuh ke atas anda
* Tinggal di dalam kereta hingga gegaran berhenti. Kereta adalah penyerap kejutan yang amat baik.
* Bila anda terus memandu selepas gegaran, berwaspada terhadap bahaya yang terhasil daripada gempa bumi seperti objek yang sedang atau telah jatuh, wayar lektrik yang terendam atau laluan jalan rosak atau berlubang-lubang.


Apa Anda Harus Lakukan Selepas gempa Bumi?

1. Periksa kecederaan. Bila gegaran berhenti kerosakan mungkin berlaku dan mungkin ada yang cedera.
2. Beri bantuan kecemasan bila perlu. Walau bagaimana pun, jangan cuba gerakkan orang yang cedera parah kecuali mereka di dalam bahaya berterusan.
3. Periksa kebakaran dan bahaya api. Padamkan api dengan segera jika anda mampu.
4. Jika anda terbau gas, buka tingkap dan tutup injap utama. Jangan nyalakan mancis atau gunakan api. Gunakan lampu suluh.
5. Tutup bekalan elektrik jika kebetulan ada kerosakan pada sistem pendawaian.
6. Tutup paip utama jika kebocoran telah berlaku.
7. Jangan sentuh pendawaian lektrik yang terendam dalam air atau objek-objek yang bersentuhan dengannya.
8. Periksa almari dan kawasan rak penstoran tetapi buka pintu-pintu dengan cermat dan waspada terhadap objek-objek yang jatuh.
9. Cuci dengan segera tumpahan ubat-ubatan dan lain-lain bahan yang berpotensi membahayakan.
10. Jangan makan atau minum sembarangan daripada bekas-bekas yang berdekatan dengan kaca yang telah remuk.
11. Jangan guna telefon kecuali untuk memanggil bantuan untuk melaporkan kecemasan (perubatan, kebakaran atau jenayah).
12. Keluar dari bangunan yang telah rosak teruk. Gegaran susulan boleh merobohkannya
13. Hidupkan radio berkuasa bateri anda untuk laporan kerosakan dan informasi. Jangan sebarkan khabar-khabar angin.
14. Bekerjasama dengan agensi-agensi penyelamat
15. Untuk sementara, jangan masuk ke kawasan yang mengalami kerosakan kecuali bantuan anda diperlukan.
16. Kosongkan lorong-lorong untuk laluan kenderaan-kenderaan kecemasan.
17. Cuba bawa bertenang dan membantu kanak-kanak yang mungkin mengalami trauma akibat gempa bumi.

TSUNAMI




Apa Itu Tsunami?

Tsunami adalah satu perkataan Jepun yang bermaksud ‘ombak laut pelauhan’. Tsunami merupakan perkataan dari bahasa Jepun yang membawa erti "ombak pelabuhan". Dalam bahasa Inggeris, gelombang tsunami dikenali sebagai ombak pasang surut (Tidal wave). Gelombang tsunami sebenarnya merujuk kepada ombak besar yang membawa kemusnahan kepada bangunan tepi pantai.

Tsunami merupakan ombak besar yang disebabkan oleh kejadian gempa bumi yang terjadi di dasar laut. Tanah runtuh, ledakan gunung berapi, letupan dan juga hentaman bahan kosmik seperti meteorit juga boleh menghasilkan tsunami. Ombak ini bergerak dengan laju beberapa ratus kilometer sejam dan dalam perjalanannya akan menaikkan dan menurunkan paras air laut.

Dalam lautan yang dalam, gelombang tsunami mempunyai amplitud ketinggiannya hanya beberapa sentimeter atau kurang sahaja. Oleh kerana jarak dari puncak ke puncak adalah ratusan batu, pergerakan turun naik tidak dapat dilihat dan dirasai oleh kapal yang belayar diatasnya dan mungkin tidak menyedari kejadiaanya.


Apabila gelombang tsunami tiba di kawasan lautan yang kedalamannya makin mengurang, halajunya akan turut menjadi kurang. Apabila gelombang ini sampai ke kawasan pantai, hanya satu cara untuk mengabadikan tenaganya adalah dengan menambahkan ketinggian ombak.


Bagi penduduk Malaysia, kita beruntung disebabkan kita berada jauh daripada kawasan gunung berapi. Malaysia tidak terdedah kepada ancaman bencana alam gunung berapi dan bencana alam yang seiring dengannya seperti gelombang tsunami, bagaimanapun kita perlu tahu mengenai bencana alam memahami bumi dan alam sekitar kita.

Di Indonesia, Pulau Jawa, pantai yang sering dilanda tsunami adalah pantai selatan Jawa Barat, Pantai Selatan Cilacap dan Pantai Selatan Jawa Timur. Sejak tahun 1990, Indonesia mencatat 15 kali bencana alam dilanda tsunami yang berlaku di sepanjang zone-mendak serta zone aktif seismik.


Punca Tsunami

Ombak laut kebiasaannya di sebabkan oleh pergerakan angin yang menghasilkan ombak yang menghempas ke pantai. tetapi gelombang tsunami merupakan gelombang laut yang teramat kuat yang terhasil oleh letupan gunung berapi, tanah runtuh bawah laut, gempa bumi, dan hentaman oleh asteroid atau komet pada permukaan laut.

Gelombang tsunami mampu bergerak sejauh seribu batu merentasi lautan dan masih mampu menghancurkan bandar berhampiran laut, memusnahkan dan mengakibatkan kehilangan nyawa yang tidak terkira jumlahnya. Gelombang tsunami yang menyebabkan kehilangan jiwa paling ramai direkodkan berlaku selepas letupan gunung berapi Krakatoa pada tahun 1883. Dianggarkan seramai 36,000 people mati disebabkan letupan tersebut yang menghasilkan ombak setinggi 12 tingkat bangunan. Kebanyakannya disebabkan oleh ombak tsunami yang melanda perkampungan persisiran pantai, sejauh sehingga 120 kilometer dari gunung berapi Krakatoa di Selat Sunda Indonesia.

Selain itu jiwa yang terkorban akibat tsunami di Indonesia adalah seperti berikut, 19 Ogos 1977 tsunami di daerah Sumba mengorbankan seramai 189 nyawa. 12 Disember 1992 di daerah Flores, gelombang tsunami mengorbankan 2,100 nyawa dan pada 3 Jun 1994 bencana tsunami melandaa daerah Banyuwangi mengorbankan seramai 208 orang.


Bagaimana Tsunami Terhasil

Punca utama gelombang tsunami adalah pergerakan muka bumi dasar laut yang berpunca daripada gempa bumi dasar laut. Gempa bumi tsunami berlaku pada zon terbenam "subduction zones" di mana kepingan kerak bumi atau "lithosphere" yang dikenali sebagai plak tetonik bertembung sesama sendiri menyebabkan satu daripadanya terbenam di bawah yang satu lagi. Terdapat zon terbenam "subduction zones" di pinggir negara Chile, Nicaragua, Mexico, dan Indonesia yang mencetuskan tsunamis pembunuh dalam tempoh 100 tahun lalu. Di lautan Pasifik, terdapat rekod 17 tsunami dari tahun 1992 sehingga 1996 yang bertanggungjawab mengakibatkan kehilangan 1,700 nyawa. Negara Indonesia terdedah kepada bencana alam disebabkan kedudukannya yang merupakan pertembungan 3 plat tetonik, iaitu kepingan Euro-Asia, kepingan Indo-Australia dan kepingan Pasifik. Selain ketiga kepingan yang besar itu, Indonesia juga menjadi pertemuan plak tetonik dengan skala kecil seperti kepingan Filipina.

Apabila kepingan kerak bumi terbenam kedasar, pergerakannya bergerak tersekat-sekat - melekat sekejab sebelum tergelincir. Apabila ia terlekat pada tebing benua, tekanan terhasil. Apabila kawasan yang terlekat terbebas, sebahagian daripada dasar laut mungkin melantun naik seperti papan anjal, ketika tekanan terbebas; sementara bahagian lain mungkin tenggelam. Seketika selepas gempa bumi, air yang tertolak membentuk gelombang dan tsunami pun terhasil.

Zon terbenam "subduction zones" terdapat di seluruh dunia, tetapi lokasi yang paling dikenali adalah di sepanjang lingkaran Cincin Api Pasifik. "Pacific Ring of Fire". Lingkaran Cincin Api Pasifik merupakan sempadan pertembungan antara dua plak tetonik. Lingkaran Cincin Api Pasifik terletak sepanjang pantai barat Tengah dan Selatan Amerika, Jepun, dan Filipina, merentasi New Zealand, ke lautan Atlantik. Gunung berapi juga wujud di tengah laut sepanjang rabung laut. Rabung Tengah Atlantik merupakan contoh gunung berapi dasar laut. Apabila gunung berapi dasar laut ini meletus, ia mampu menghasilkan gelombang tsunami.

Dalam lautan lepas, gelombang tsunami mencecah kelajuan 500 batu sejam, selaju jet penumpang. Tetapi di lautan lepas, gelombang tsunami itu tidak dapat dibezakan dengan ombak biasa. Di lautan dalam, ombak tersebar dan merunduk, dengan jarak beratus batu antara puncak ombak yang hanya kelihatan beberapa kaki tinggi. Tetapi sebenarnya, puncak gelombang tsunami hanyalah hujung jisim air menggunung yang bergerak. Berbeza dengan ombak yang disebabkan oleh angin yang berkesan pada lapisan atas air, gelombang tsunami terbenam sehingga beribu kaki di dalam laut.

Oleh kerana pergerakan ombak begitu kuat, dan sifat pedam air, gelombang tsunami mampu bergerak beribu batu dan kehilangan hanya sedikit tenaga. Sebagai contoh, gelombang tsunami yang disebabkan oleh gempa bumi di persisiran Chili pada tahun 1960 menghasilkan gelombang tsunami yang mempunyai cukup tenaga untuk membunuh 150 di Jepus setelah bergerak selama 22 jam sejauh 10,000 batu. Gelombang tsunami tersebut kemudiannya berulang-alik menyeberangi lautan selama beberapa hari.

Apabila gelombang tsunami sampai kepantai, ia menjadi perlahan disebabkan dasar laut menjadi cetek, dan kehilangan laju ini diiringi oleh peningkatan dalam ketinggian ombak. Ombak tersebut terhimpit antara satu sama lain seperti akordian dan meningkat naik. Bergantung kepada jenis punca gelombang tsunami itu, gelombang tsunami boleh menyebabkan air laut surut menyebabkan ikan tertinggal di dasar lautan. Ini menarik orang ramai untuk berkumpul melihat keadaan ini sebelum gelombang tsunami menghentam menyebabkan kematian mereka.

Gelombang tsunami juga mampu melanda dengan tiba-tiba tanpa sebarang amaran. Gelombang tsunami yang melanda tidak bergulong dikemuncak seperti ombak biasa. Mereka yang terselamat menggambarkan gelombang tsunami sebagai dinding air yang gelap. Ombak gergasi tsunami yang terdiri daripada jisim air yang menggunung ini akan menghentam ke pantai dan menenggeamkan kawasan persisiran, menumbangkan pokok seperti ranting kering, merobohkan tembok batu, dan rumah api, dan memusnahkan bangunan seperti bangunan permainan.

Bentuk permukaan dasar laut seperti berbentuk parit, dan persisiran pantai memainkan peranan penting dalam menentukan jenis glombang tsunami yang terhasil, kadang kala dengan keputusan yang mengejut dan merbahayakan Pada tahun 1993, satu glombang tsunami menghentam bandar, di Jepun, ombak purata setinggi 15 hingga 20 meter (50 - 65 kaki). Tetapi pada suatu tempat, ombah tertumpu oleh bentuk 'V' memampatkan ombak dalam ruang yang semakin sempit dan akhirnya menghasilkan gelombang tsunami setinggi 32 meter (90 kaki) dari aras laut, setinggi bangunan 8 tingkat.


Bagaimana Gempa Bumi Boleh Menghasilkan Tsunami?

Gempa bumi merupakan salah satu sebab utama yang biasanya menghasilkan tsunami. Tsunami akan terhasil apabila dasar lautan dengan tiba-tiba berubah kedudukan yang akan menyebabkan air berkocak kuat. Gempa bumi tektonik adalah gempa bumi yang biasanya akan menyebabkan kecacatan atau perubahan pada kerak bumi; apabila gempa bumi terjadi di dasar lautan, air yang berada dikawasan kejadian akan berubah dari kedudukan keseimbangannya.


Gelombang akan terhasil dari perubahan jisim air, yang bertindak dibawah pengaruh graviti yang cuba untuk mengembalikan keseimbangan kedudukannya. Apabila kawasan dasar laut yang berubah kedudukan (terangkat atau turun) adalah luas, tsunami akan terhasil. Gelombang yang terhasil dapat bergerak dengan pantas.


Langkah Berjaga-Jaga

Pada masa kini tidak terdapat banyak yang dapat dibuat oleh mereka yang berhadapan dengan gelombang tsunami. Di kepulauan Jepun, kerajaan telah membina benteng dipersisiran pantai untuk menahan bandar dari bahaya gelombang tsunami, tetapi bagi orang perseorangan, tidak banyak yang dapat dibuat oleh mereke kecuali mengosongkan kawasan yang dijangka akan dilanda tsunami.

Penduduk dipersisiran pantai dikawasan yang sering menghadapi tsunami juga perlu pergi kearah tanah tinggi apabila berlaku gempa bumi atau letusan gunung berapi bagi yang tinggal berhampiran gunung berapi. Mereka juga perlu mengelakkan dari pergi ke arah pantai sekiranya berlaku tanda-tanda awal tsunami seperti air yang surut secara tiba-tiba.

Tsunami juga mampu melanda beberapa kali, oleh itu adalah tidak digalakkan untuk pergi ke kawasan pantai untuk melihat kerosakan selepas ombak tsunami pertama melanda. Ini adalah untuk mengelakkan dilanda ombak tsunami yang berikutnya.


Kronologi Tsunami Di Kuala Muda


Tarikh Tragedi: 26 Disember 2004

* 8.58 pagi - Satu gegaran gempa bumi telah dikesan di utara Sumatera, Indonesia berukuran 9.0 mengikut skala richter.
* 1.15 tengahari - Gelombang pertama melanda pantai Kuala Muda dengan ketinggian mencecah 2.5 meter .
* 1.45 petang - Gelombang kedua dengan ketinggian melebihi 8 meter telah menghempas pantai sejauh 300 meter ke daratan mengakibatkan banyak rumah, kenderaan dan harta benda lain musnah.

BANJIR




Keadaan Banjir di Johor Bahru (Sumber : Wikipedia)

Faktor-Faktor Berlaku Banjir

Banjir berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antara faktor-faktor berlaku banjir adalah:-

1. Hujan yang berterusan.
Hujan yang berterusan tanpa berhenti-henti akan menyebabkan banjir berlaku. Di kawasan-kawasan rendah, air hujan akan dialirkan ke sungai. Sungai yang dipenuhi air akan melimpah keluar sehingga menyebabkan kawasan tanah rendah dipenuhi air.

2. Proses pembandaran.
Proses pembandaran menyebabkan banyak kawasan yang dipermodenkan. Kawasan-kawasan tanah rendah telah ditebus guna dengan mengambil tanah dari kawasan bukit. Ada juga anak-anak sungai yang ditimbus untuk dijadikan tapak bangunan.Aktiviti-aktiviti seperti ini merupakan faktor penyebab berlakunya banjir. Jika dahulu anak-anak sungai dan lembah dijadikan kawasan aliran air, kini kawasan tersebut telah ditimbus dengan tanah. Apabila hujan turun, air akan mengalir dari kawasan bukit ke kawasan yang rendah dan kemudian bertakung. Lama-kelamaan air akan bertambah dan banjir kilat akan berlaku.

3. Hakisan sungai.
Hakisan sungai yang kerap berlaku disebabkan oleh dua faktor iaitu hakisan berlaku secara semula jadi dan pembuangan sisa domestik manusia. Faktor semula jadi berlaku apabila hujan turun dengan lebat, air akan mengalir deras and menghakis tebing-tebing sungai. Akhirnya tanah tebing akan runtuh dan membentuk satu mendapan di dasar sungai. Seterusnya sungai akan menjadi cetek. Begitu juga dengan aktiviti manusia yang suka membuang sisa-sisa domestik seperti sampah-sarap dan sisa-sisa industri ke dalam sungai boleh menyebabkan sungai menjadi cetek dan pengaliran air tersekat. Apabila hujan lebat turun, sungai yang telah menjadi cetek akibat hakisan semula jadi atau pencemaran tidak dapat menampung atau megalirkan air hujan yang banyak. Akhirnya air sungai akan melimpah ke tebing dan dengan ini banjir akan berlaku.

4. Hutan tadahan.
Hutan merupakan satu kawasan yang menempatkan pelbagai jenis tumbuhan dan haiwan. Selain itu hutan juga boleh dijadikan sebagai pengimbang ekosistem dunia dengan merendahkan kadar suhu. Hutan menyerap air hujan yang turun ke permukaan bumi dengan kadar antara dua peratus hingga 20%. Kemudian air yang diserap akan dialirkan ke anak-anak pokok melalui akar. Ada juga proses pemeluwapan dilakukan dengan membebaskan semula titisan-titisan air ke udara. Dengan ini berlaku kitaran air secara semula jadi.

5. Pemusnahan hutan menyebabkan hujan terus turun ke bumi tanpa diserap oleh tumbuhan. Hujan yang turun dengan lebat menyebabkan air mengalir dengan banyak ke dalam sungai. Sungai tidak mendapat menampung air hujan dalam jumlah yang banyak. Pada masa ini limpahan air sungai akan berlaku mengakibatkan banjir.

6. Sistem perparitan tidak terancang.
Masalah banjir yang sering melanda bandar adalah disebabkan kekurangan sistem perparitan yang dibina serta ianya terlalu kecil dan cetek. Jumlah air yang banyak menyebabkan air melimpah keluar dari parit menyebabkan banjir kilat berlaku.